WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Isnin mengancam akan mengebom Oman jika negara itu menghalang usaha Amerika Syarikat (AS) mencapai perjanjian dengan Iran mengenai Selat Hormuz, selain menggesa Teheran menyerah kalah.
“Jika Oman menghalang, kami akan mengebom mereka habis-habisan,” kata Trump kepada wartawan Fox News, Trey Yingst.
Beliau merujuk kepada rundingan yang sedang berlangsung antara Oman dan Iran mengenai kawalan terhadap selat itu.
Bagaimanapun, Washington turut menjalankan rundingan sendiri tentang selat tersebut.
Pegawai Iran dan Oman telah berunding selama beberapa minggu mengenai aturan pelayaran maritim pada masa depan melalui laluan perkapalan tersebut.
Kementerian Luar Iran berkata pada Isnin bahawa kedua-dua pihak sedang berusaha menghasilkan deklarasi bersama.
Namun, Trump berulang kali menegaskan bahawa Selat Hormuz yang ditutup Teheran pada permulaan perang di Asia Barat pada 28 Februari berada di bawah kawalan AS.
Sebelum bermulanya perang AS-Israel terhadap Iran, Selat Hormuz dianggap sebagai laluan perairan antarabangsa yang terbuka.
Selat itu menjadi laluan penting bagi sebahagian besar penghantaran tenaga dunia, selain komoditi lain.
Teheran menggunakan penguasaan berkesannya terhadap selat itu sebagai alat tekanan terhadap usaha diketuai AS untuk memusnahkan keupayaan ketenteraannya dan memaksa Iran meninggalkan program nuklear yang kontroversi.
Pantai Iran menghadap bahagian utara Selat Hormuz, manakala Oman terletak di sebelah selatan.
Trump turut berkata, Iran perlu mengibarkan bendera putih sebagai tanda menyerah kalah, menurut hantaran Yingst di X mengenai temu bualnya dengan presiden itu. – AFP






