PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun akan berjumpa dengan pegawai imigresen yang terbabit dalam insiden dimaki dengan kata-kata kesat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah, hari ini.
Nexbyte difahamkan, pertemuan berkenaan bertujuan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian yang berlaku namun tidak dapat dipastikan sama ada Mohd. Shafiq turut akan dipanggil atau tidak.
“Difahamkan, pegawai terlibat akan dipanggil esok bagi menjelaskan apa yang berlaku.
“Tidak dapat dipastikan sama ada saksi lain daripada Jabatan Imigresen yang turut berada di lokasi ketika kejadian minggu lalu juga akan dipanggil atau sebaliknya bagi membantu siasatan,” kata sumber itu.
Ditanya tentang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian itu berlaku, kata sumber, CCTV di kawasan berkenaan berada di bawah bidang kuasa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Jadi, sebarang penyerahan CCTV kepada jawatankuasa siasatan yang diketuai oleh Idrus perlu melalui MAHB bagi membolehkan penelitian dilakukan sekali gus mendapatkan gambaran yang lebih jelas,” ujarnya.
Kelmarin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mengumumkan Peguam Negara, mengetuai Jawatankuasa Siasatan berkenaan yang turut dianggotai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Jawatankuasa siasatan itu ditubuhkan selepas Kabinet mengarahkan menyiasat isu membabitkan Mohd. Shafiq yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen di KLIA berhubung isu pemeriksaan pasport.
Insiden itu menyebabkan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengeluarkan kenyataan mengutuk insiden berkenaan namun Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan Mohd. Shafiq mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai terbabit. -UTUSAN






