PETALING JAYA: Selepas tertangguh sejak November 2022, perbicaraan peringkat bela diri membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual bersambung semula esok.
Bagaimanapun, terdapat `cerita belakang tabir’ yang mengatakan perbicaraan yang sepatutnya berjalan hari ini sehingga Khamis tidak dapat diteruskan seperti yang dijadualkan.
Difahamkan, Ahmad Zahid telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara agar 47 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana yayasan itu digugurkan.
Sementara itu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berlainan, pihak pembelaan dalam kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan memulakan hujah mereka selepas menutup kes mereka hampir sebulan lalu.
Pada 14 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil empat orang saksi untuk memberi keterangan termasuk Syed Saddiq sendiri.
Syed Saddiq, 30, diperintah membela diri atas empat pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan pada 28 Oktober 2022. Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memberi keterangan membela diri selama dua hari bermula 22 Februari lepas.
Selain itu, pasangan selebriti Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin akan kembali `menghangatkan’ Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Hari ini, mahkamah akan mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berkaitan dengan kemelut rumah tangga pasan tersebut.
Bagaimanapun, dijangka berlaku kejutan pada prosiding pendengaran tersebut.
Ketika ditemui Nexbyte, peguam syarie, Azmi Rais yang mewakili Syamsul tidak mendedahkan sebarang perincian dan hanya berkata:”Datang Isnin ini, ada sesuatu akan berlaku.”
Puteri Sarah memfailkan cerai terhadap suaminya pada 16 Januari lalu atas alasan tidak lagi mampu untuk hidup sebagai suami isteri dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan).
Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi. – UTUSAN






