PETALING JAYA: Selepas lebih 51 tahun sambutan Hari Guru diraikan, masalah beban kerja ditanggung oleh guru di seluruh negara masih lagi gagal diselesaikan sehinggakan golongan tersebut semakin tertekan saban hari.
Terdapat tiga punca utama yang dikenal pasti menyebabkan bebanan melampau dihadapi guru masa kini iaitu tekanan kerja pengkeranian, menguruskan kerenah ibu bapa di kumpulan WhatsApp serta sistem teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang ketinggalan zaman.
Mendedahkan punca itu kepada Nexbyte, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, berdasarkan kajian pihaknya di lapangan tiga perkara tersebut adalah punca utama bebanan guru di sekolah semakin meningkat.
Jelasnya, isu pengkeranian bukanlah suatu tanggungjawab baharu kepada guru namun disebabkan kerja merekod dilakukan secara dalam talian ke sistem yang kerap bermasalah menyebabkan golongan tersebut terpaksa bekerja lebih masa.
“Perkara itu berhubung kait juga dengan isu sistem teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang ketinggalan zaman dengan capaian internet yang tidak memuaskan.
“Bagaimana kerja-kerja pengkeranian dapat dilakukan pada waktu bekerja sedangkan capaian internet yang perlahan menyebabkan sistem data disediakan tidak boleh diakses sehingga memaksa hal berkenaan dibuat di rumah.
“Masalah juga timbul apabila sistem data disediakan Kementerian Pendidikan tidak mampu menampung akses guru yang terlalu ramai pada satu-satu masa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, selepas pandemik Covid-19 tempoh hari, guru juga terpaksa menguruskan kerenah ibu bapa melalui kumpulan WhatsApp kelas yang diwujudkan sehingga lewat malam.
“Perkara itu menyebabkan guru tertekan kerana terpaksa melayan rungutan, kritikan kadangkala kecaman ibu bapa menerusi platform tersebut sedangkan ia diwujudkan untuk menyalurkan maklumat berkenaan hal-hal sekolah.
“Sudah guru kena buat kerja-kerja pengkeranian sehingga lewat malam, pada masa sama terpaksa menguruskan kerenah ibu bapa, jadi bila masa yang mereka boleh berehat,” katanya.
Seramai lebih 433,000 guru yang sedang berkhidmat kepada sekitar lima juta murid di seluruh negara pada masa ini.
Mencadangkan penyelesaian kepada permasalahan tersebut, Aminuddin berkata, NUTP mencadangkan supaya kementerian melantik pembantu guru dengan memulakannya di sekolah yang mempunyai jumlah tenaga pengajar yang kecil.
Jelasnya, perkara tersebut dapat meminimumkan kerja pengkeranian yang digalas oleh guru masa kini sekali gus dapat memberikan fokus kepada tugas hakiki mereka iaitu mendidik murid serta pelajar.
“Selain itu, kementerian juga perlu menambah baik capaian internet di sekolah serta menyelenggara makmal komputer supaya menepati kehendak masa kini sekali gus mengurangkan bebanan guru,” katanya.
Sementara itu, seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Azizah (bukan nama sebenar), 47, yang sudah lebih 20 tahun berkhidmat dalam sektor pendidikan turut mengakui kerja pengkeranian masa kini amat membebankan.
Jelasnya, beliau sudah melalui dua zaman berbeza iaitu sebelum kehadiran teknologi dan selepas, namun mengakui tugas guru masa kini lebih sukar.
“Sebagai contoh, kami terpaksa kerja lebih masa untuk menyelesaikan kerja pengkeranian dengan memasukkan data ke dalam sistem yang selalunya hanya dapat diakses selepas waktu kerja.
“Itu belum lagi diambil kira arahan ‘last minute’ pihak PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) yang mahukan sesuatu laporan dibuat segera ke dalam sistem dan diselesaikan dalam tempoh singkat.
“Semua itu mengundang rungutan daripada guru-guru sehingga ramai yang saya kenal memilih untuk bersara awal sedangkan mereka amat berkemahiran dalam bidang masing-masing,” katanya.
Azizah yang bertugas di sebuah sekolah di Lembah Klang juga senada dengan Aminuddin dengan mencadangkan supaya guru di sekolah perdana diberikan pembantu murid untuk membantu mengatasi kerja pengkeranian.
“Saya rasa dengan adanya pembantu murid seperti yang diberikan kepada guru sekolah PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi) dapat mengatasi masalah ini sekali gus mengurangkan bebanan kami.
“Ia juga secara tak langsung dapat memberikan peluang guru berehat secukupnya dan fokus mendidik murid di sekolah,” katanya. – UTUSAN






