PETALING JAYA: Majlis Ilmu Madani membawa impak positif yang sangat besar dalam negara dan juga kepada masyarakat kerana ia mampu mengatasi kekeliruan mengenai agama Islam dan menghalang kewujudan ekstremisme.
Malah, penampilan tokoh-tokoh agama Islam dunia yang diakui tersohor akan memberi pemahaman yang amat jelas dalam beberapa isu dihadapi ketika ini selain menghalang wujudnya ekstremisme dalam kalangan masyarakat.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, negara ketika ini berdepan dengan kewujudan sekumpulan manusia yang sering mempertikaikan fatwa dan hukum ditegaskan oleh agamawan.
Menurut beliau, ia berpunca daripada sebahagian pihak yang terlalu lantang memberikan pandangan tentang hukum dan isu berkaitan agama Islam tanpa mempunyai fahaman jelas serta latar belakang untuk mengupas mengenainya sehingga mempengaruhi sebahagian masyarakat.
“Saya dapati terdapat sebahagian orang yang bercakap atau cuba memberi pandangan tentang Islam itu mereka tidak mempunyai kepakaran sebenarnya sehingga kadang-kadang keputusan fatwa pun dipertikai oleh orang biasa dan tidak ada ilmu.
“Kita tidak membantah sekiranya yang mempertikaikan fatwa atau tak setuju dengan pandangan mufti tu adalah orang alim dan mempunyai ilmu agama tetapi apa buat kami sedih adalah apabila pandangan mufti serta ulama berwibawa dipertikai oleh individu yang tidak ada latar belakang.
“Walaupun mereka pakai gelaran ‘ustaz’ atau ‘tuan guru’, jika kita lihat latar belakangnya tidaklah sampai ke tahap sehingga membolehkan dia membincangkan tentang isu-isu yang rumit atau memberikan pandangan serba-serbi berkaitan agama Islam.
“Disebabkan ini banyak kekeliruan timbul, apabila kefahaman salah maka tindakan pun akan ikut sama. Jadi timbul fanatik, taksub, ekstremisme dan sebagainya, ini boleh merosakkan ketenteraman awam,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan, lebih 18,000 umat Islam menghadiri Majlis Ilmu Madani Bersama Perdana Menteri di Masjid Putra malam kelmarin.
Perdana Menteri tiba di masjid itu pada 7.20 malam dan disambut oleh dua tokoh ulama besar dunia Islam iaitu bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Profesor Dr Ali Juma’ah Al Azhari serta Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa di Tarim, Yaman iaitu Habib Umar Muhammad Salim Ben Hafidz.
Majlis dimulakan dengan solat maghrib berjemaah disusuli program bacaan maulid. Anwar dalam ucapannya berkata, program itu memberi peluang kepada umat Islam yang hadir untuk bersama-sama mendengar kupasan penuh hikmah dan bijaksana oleh dua ulama tersohor berkenaan.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, penganjuran majlis tersebut memang baik kerana membawa isu-isu dihadapi oleh masyarakat dan memberi penyelesaian dari sudut agama Islam.
Jelasnya, penganjuran Majlis Ilmu Madani juga menunjukkan Anwar adalah seorang pemimpin yang amat berminat dengan ilmu dan suka berwacana, secara langsung membawa rakyat bersama beliau untuk memahami ajaran Islam yang sebenar.
“Kalau boleh majlis sebegini dilakukan secara kerap dan diadakan di seluruh negara. Undangkan banyak lagi tokoh-tokoh Islam yang berwibawa di dunia ini.
“Saya rasa sekiranya kita membelanjakan untuk program ilmu sebegini tidak sepatutnya menjadi masalah kerana pulangannya itu ada walaupun bukan pada masa singkat. Saya percaya kita akan lihat masyarakat kita mempunyai kemantapan dalam ilmu agama sehingga masalah timbul dalam kalangan masyarakat diatasi dan perpaduan juga kita dapat bina,” katanya. – UTUSAN






