KUALA LUMPUR: Pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39 mendoakan agar bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana, 38, bertemu jodoh yang boleh membahagiakan dirinya.
Kata Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, walaupun tidak lagi bergelar suami isteri, dia tetap berharap pelakon itu bertemu seorang lelaki yang boleh menjaga dirinya dengan baik.
“Saya doakan dia jumpa kebahagiaan. Saya juga mahu dia mendapat seseorang yang baik dan boleh membahagiakannya. Jika anak-anak saya ada ayah baru, saya juga akan terima.
“Cuma jangan terlalu ikut nafsu kerana semua itu akan menghancurkan,” katanya ketika ditemui Nexbyte di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
Walaupun perkahwinan mereka berdepan kontroversi, bagi Syamsul, apa yang lebih penting ialah masing-masing setuju untuk mara ke hadapan.
“Saya cakap dekat Sarah, memang kontroversi tentang kahwin dua semua sudah tahu. Namun apa yang penting, ialah hidup Sarah, saya dan anak-anak.
“Kita kena mara ke hadapan dan jangan fikir apa dikatakan warganet. Kita kena utamakan anak-anak,” tambahnya.
Terdahulu, Syamsul melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas pada pukul pukul 12.25 tengah hari selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Sehubungan itu, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin diperintahkan Hakim Syarie Akmallluddin untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian mereka.
Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini dimaklumkan tiada ruang untuk Syamsul dan Puteri Sarah untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka.
Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang telah dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.
Dalam prosiding hari ini, Puteri Sarah diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais.
Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini Puteri Sarah mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.
Aktres itu berkata, tiada perkara yang perlu dirunding atau dibincangkan lagi memandangkan hatinya telah tertutup untuk berdamai selepas nekad mahu bercerai.
Kemudian pada 18 April lalu, pasangan itu sepatutnya merekodkan persetujuan penyelesaian yang dikatakan telah dicapai dalam satu pertemuan yang mana Syamsul juga akan melafazkan talak terhadap Puteri Sarah pada tarikh tersebut.
Bagaimanapun saman terhadap Ira Kazar dan pengurangan jumlah tuntutan nafkah anak antara yang menjadi penghalang kepada perceraian antara Puteri Sarah dan Syamsul.
Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4. – UTUSAN






