PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu menerokai industri baharu terutama tanaman kontan dengan mengaplikasikan kaedah moden berteknologi bagi mempertingkatkan pendapatan peneroka di tanah yang belum diterokai.
Pada masa sama, Felda disyorkan menerokai industri baharu seperti penternakan sekali gus menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Bercakap kepada Nexbyte, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Datuk Mazlan Aliman berkata, teras Felda adalah berkaitan industri komoditi khususnya tanaman getah dan kelapa sawit namun ia boleh diperluas terhadap sektor komoditi berkaitan contohnya tanaman kontan.
Katanya, Felda masih memiliki tanah rizab yang luas untuk dimanfaatkan oleh peneroka.
“Selain tanah rizab yang luas, Felda juga mempunyai tenaga kerja yang ramai bagi memperluas sektor tanaman baharu untuk diterokai khususnya berkaitan tanaman kontan.
“Tanaman kontan tidak lagi diusahakan secara konvensional seperti dahulu sebaliknya ia boleh diusahakan menggunakan kaedah moden berteknologi tinggi bagi meningkatkan hasil sekali gus menggandakan pendapatan peneroka,” katanya.
Beliau mengulas wawancara Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan akhbar ini semalam yang menyentuh tentang perlunya Felda dilihat dalam ruang lingkup lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada hasil perladangan semata-mata.
Tanaman kontan adalah jenis tanaman singkat masa selain sayur-sayuran dengan tujuan untuk dijual contohnya tanaman jagung, ubi kayu dan ubi keledek yang tempoh tanamannya antara tiga hingga enam bulan.
Mazlan berkata, Felda juga boleh menerokai bidang baharu iaitu penternakan seperti ayam jenis Ayam Kacukan Kampung (AKK) yang hanya memerlukan tempoh masa sekitar tiga ke empat bulan untuk matang dan dijual kepada pengguna.
Katanya, ia sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan warga Felda khususnya terhadap bekalan ayam dari luar.
“Sebagai permulaan mungkin ia boleh diternak untuk bekalan warga Felda namun jika berjaya ia boleh dikomersialkan sekali gus menjadi penyumbang kepada bekalan ayam di negara,” katanya. – UTUSAN






