GEORGE TOWN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua di Seri Mutiara, di sini semalam.
Kon Yeow, 65, mengangkat sumpah memegang jawatan Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, kira-kira pukul 9.35 pagi.
Ahmad Fuzi kemudiannya menyerahkan surat pelantikan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Kon Yeow.
Yang turut hadir, isteri Kon Yeow, Tan Lean Kee; bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar dan pimpinan Barisan Nasional (BN) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri.
Menerusi keputusan PRN semalam, Kon Yeow menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota dengan majoriti 7,116 mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN), H’Ng Khoon Leng yang memperoleh 1,145 undi.
Kon Yeow dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu selepas gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus berjaya membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan majoriti dua pertiga.
Semasa mengangkat sumpah, Kon Yeow berikrar akan menunaikan kewajipannya sebagai Ketua Menteri serta bertanggungjawab memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan negeri.
“Saya dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya tidak akan mendedahkan kepada sesiapa, secara langsung atau tidak langsung, apa-apa perkara yang dibawa ke pertimbangan saya atau yang akan saya ketahui sebagai Ketua Negeri kecuali apabila ia mungkin dikehendaki daripada saya untuk menunaikan kewajipan saya sebagai Ketua Menteri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau tidak tahu sama ada namanya berada dalam senarai individu yang akan dilantik menjadi Menteri Besar atau tidak selepas ini kerana kepimpinan parti akan menentukannya.
“Perkara itu sedang diuruskan parti, nama saya atau nama siapa yang dibawa menghadap Sultan Kedah, itu saya tak tahu,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah di sini, malam semalam.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini memaklumkan, Muhammad Sanusi bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar akan kekal menjadi Menteri Besar di Kedah dan Terengganu.
DI SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kekal sebagai Menteri Besar sementara sehingga istiadat angkat sumpah diadakan berikutan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah masih berada di London, United Kingdom (UK) dan dijadual pula esok.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim berkata, bagaimanapun, masih belum ada tarikh diperkenan baginda untuk menerima menghadap calon Menteri Besar bagi penggal ke-15 kerajaan negeri.
“Oleh demikian, Amirudin akan kekal sebagai Menteri Besar sementara atau caretaker sehingga Menteri Besar yang baharu mengangkat sumpah nanti,” katanya. – UTUSAN






