PETALING JAYA: Kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober ini perlu menyediakan beberapa inisiatif dan usaha bagi menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan graduan.
Ini kerana berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan 2022, daripada jumlah keseluruhan graduan iaitu 295,962 masih terdapat seramai 29,099 graduan daripada pelbagai bidang yang masih belum bekerja.
Daripada jumlah tersebut, antara paling ramai masih tidak bekerja adalah graduan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) iaitu sebanyak 13,860 orang, diikuti 9,659 orang daripada universiti awam (UA) dan daripada institut pengajian tinggi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pula seramai 4,686 orang.
Sekiranya mengikut bidang pengajian pula, antara graduannya belum bekerja paling tinggi adalah dalam kalangan graduan perniagaan, pentadbiran dan perundangan iaitu seramai 9,175 orang dan diikuti dengan bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan iaitu seramai 3,258 graduan.
Melihat kepada punca graduan belum bekerja, sebanyak 68 peratus daripada mereka sedang mencari peluang pekerjaan manakala selebihnya memilih untuk berehat dan menunggu keputusan untuk melanjutkan pengajian.
Bercakap kepada Nexbyte, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani berkata, masalah pengangguran dalam kalangan graduan perlu diatasi segera.
“Melalui Belanjawan 2024, kerajaan boleh fokuskan pada inisiatif-inisiatif kepada majikan supaya mengambil graduan bekerja kerana mungkin mereka berhadapan kekangan untuk mengambil mereka yang ada diploma dan ijazah ni.
“Malah, sudah sampai masanya kita menetapkan gaji minimum untuk graduan supaya tidak diskriminasi kerana kalau kita lihat gaji lepasan graduan ini menurun selepas adanya gaji minimum ini atau tidak ada peningkatan.
“Ini kerana kita lihat banyak majikan tidak memberi gaji yang setimpal kepada graduan iaitu mereka juga diberi kadar gaji RM1,500 sedangkan sepatutnya menerima lebih kerana mempunyai kelayakan dan kemahiran,” katanya ketika dihubungi.
Effendi berkata, kerajaan juga perlu memperkukuhkan industri yang ada di dalam negara supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi memenuhi keluaran graduan oleh seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) negara.
Malah, industri juga dapat memenuhi permintaan paras gaji yang diminta oleh para graduan apabila operasi perniagaan menjadi lebih kukuh.
“Antara sebab ada graduan yang tidak bekerja ini adalah kerana faktor gaji iaitu gaji ditawarkan oleh mereka lebih rendah daripada sepatutnya di mana sekiranya mereka bekerja terpaksa menerima gaji kecil seperti pekerja berkemahiran rendah sedangkan mereka berkemahiran tinggi,” katanya.
Tambahnya, insiaitf-insiatif yang dapat memberi manfaat kepada pekerja perlu diteruskan di samping menambah inisiatif lain bagi mengukuhkan hak pekerja,” ujarnya.
Antara usaha yang dilihat kini sedang giat dilakukan oleh kerajaan untuk mengani isu gaji tidak setimpal adalah dengan melaksanakan Dasar Gaji Progresif. – UTUSAN






