PETALING JAYA: Muktamar Pas 2023 iaitu kali ke-69 diadakan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam akan membahaskan pelbagai usul berkaitan kepentingan rakyat.
Bercakap kepada Nexbyte, Pengerusi Jawatankuasa Usul, Ir. Khairil Nizam Khirudin enggan mendedahkan usul itu secara terperinci sebaliknya menyifatkan ia merangkumi pelbagai perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, tidak timbul soal sesuatu usul itu ditapis, sebaliknya ia diteliti bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan.
“Ada kriteria usul sama ada usul itu segera, melibatkan kepentingan awam atau tujuan tertentu. Ini diantara kriteria usul kita sama ada bersifat dalaman atau luaran yang akan diteliti jawatan kuasa usul dan ini praktis yang dibuat daripada dahulu lagi.
“Sebab kadangkala usul yang diangkat oleh kawasan bersifat cadangan sahaja, jadi, sebab itu perlu melalui satu jawatan kuasa untuk penelitian.
“Oleh itu, kita sudah selesai penelitian kita, jadi, ada usul yang bersifat dalam dan ada usul yang bersifat luaran. Malah, usul yang dilepaskan untuk dibahas boleh saya katakan untuk kepentingan rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, muktamar kali ini dijangka dihangatkan dengan dua isu besar iaitu konflik kemanusiaan di Gaza dan kenaikan kadar cukai perkhidmatan lapan peratus.
Konflik kemanusiaan di Gaza dijangka dibawa ke muktamar dan dibahaskan untuk menggesa kerajaan menyatakan pendirian jelas dan menghantar nota bantahan kepada negara-negara pro Israel.
Ia dapat dilihat menerusi jemputan yang tidak diberikan kepada duta negara-negara dikatakan pro negara haram itu sebagai tanda sokongan dan solidariti itu terhadap keganasan yang menimpa umat Islam di Palestin.
Isu seterusnya yang juga dijangka hangat dibahaskan adalah kenaikan kadar cukai perkhidmatan apabila dasar tersebut didakwa bakal mencetuskan kenaikan harga barang. – UTUSAN






