PETALING JAYA: Keputusan tidak mempertandingkan jawatan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dalam Muktamar Tahunan Pas kali ke-69 dilihat menyekat suara demokrasi di dalam parti itu.
Bercakap kepada Nexbyte, Felo Penyelidik Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, kesan buruk yang dilihat apabila Pas tidak membuat pemilihan jawatan Presiden itu akan menimbulkan spekulasi negatif dalam kalangan ahli selain mengekang demokrasi di dalam parti itu.
“Selain itu, strategi Muktamar Pas ke-69 dengan tidak mempertandingkan jawatan presiden itu adalah satu usaha untuk mengelak pergolakan besar ketika parti itu dalam kedudukan paling baik sejak ditubuhkan,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, pergolakan besar yang dimaksudkan adalah terdapat beberapa pemimpin Pas yang cuba untuk mencari kepentingan politik (political mileage) dan sokongan untuk menguasai jawatan tertinggi parti untuk kepentingan masing-masing.
Tambah Afifi, dengan tidak mempertandingkan kerusi presiden itu, ia bertujuan memantapkan agenda yang telah dirancang oleh parti itu bagi mengelakkan sebarang risiko dan potensi perpecahan dalam parti itu meski timbul dakwaan terdapat beberapa ‘kem’ dalam Pas.
Terdahulu, Muktamar Tahunan Pas ke-69 dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
Lima jawatan tertinggi Pas iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak akan dipertandingkan kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala satu daripada empat calon naib presiden menarik diri.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, langkah tidak mengambil calon bagi jawatan presiden dilihat tidak meraikan demokrasi di dalam parti itu.
Jelasnya, sudah pasti ada calon yang ingin mencuba nasib bagi jawatan presiden namun apabila jawatan itu tidak dipertandingkan maka putuslah harapan mereka.
Selain itu, sekiranya jawatan presiden dipertandingkan, ia akan menjerumus kepada perpecahan dalam parti itu di mana ia merupakan jawatan yang menjadi perebutan.
Tambah Salawati, meskipun Pas merupakan parti Islam tetapi jawatan presiden itu tetap menjadi rebutan bagi mendapat sokongan ahli.
Mengulas lanjut, beliau berkata, strategi Muktamar Pas kali ini adalah untuk menarik pengundi baharu dan juga orang muda dalam gelombang Pas bagi Pilihan Raya Umum akan datang.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pencapaian cemerlang parti itu dalam pilihan raya umum dan pilihan raya di enam negeri menyebabkan ahli mahu kepemimpinan sedia ada dikekalkan.
“Kalau pencapaian cemelang, mengapa perlu risau tentang kepemimpinan yang ada,’’ katanya sambil menegaskan, parti sudah memberi peluang kepada semua kawasan untuk mengemukakan pencalonan tetapi tidak ada yang dikemukakan sehingga pencalonan ditutup. – UTUSAN






