KEBANYAKAN bahasa dinamakan dengan mengambil langsung nama kelompok yang menuturkannya sebagai bahasa natif. Jarang bahasa diberikan nama mengikut negara atau wilayah di mana dituturkan.
Sehubungan ini, bahasa Inggeris dinamakan sempena nama kelompok Inggeris, yang leluhur mereka adalah Angles. Angles adalah kelompok awal yang berasal dari utara Eropah dan mula mendiami England semenjak awal zaman pertengahan.
Perkara yang sama juga berlaku pada bahasa Russia berikutan nama Rus, yakni kelompok awal zaman pertengahan yang mendiami timur Eropah.
Untuk bahasa Perancis, namanya datang daripada nama Frank, iaitu kelompok yang asal usulnya adalah dari utara Eropah juga.
Begitu juga halnya dengan bahasa Arab yang namanya adalah daripada kelompok Arab yang mendiami semenanjung Arab. Hal sama berlaku pada bahasa Tamil yang namanya diambil daripada kelompok Tamil yang mendiami selatan India dan Sri Lanka.
Dalam pada ini, bahasa Inggeris yang dituturkan secara dominan di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia dan New Zealand, tetap dikenali dengan nama kelompok Inggeris. Ia tidak pun diubah nama kepada bahasa AS, Kanada, Australia dan New Zealand.
Sehubungan ini, bagaimana pula dengan nama bahasa Indonesia yang selalu dikaitkan dengan nama republik Indonesia. Dari satu segi, bahasa Indonesia kelihatan mendapat nama itu daripada nama republik itu.
Dari segi lain, khususnya dalam bentuk terjemahannya dalam bahasa Inggeris, ia adalah Indonesian, iaitu bahasa Orang Indonesia.
Dalam hal namanya ini, bahasa Indonesia tidak sesekali diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai Language of Indonesia atau Indonesia Language, iaitu bahasa negara Indonesia.
Begitulah halnya dengan bahasa Jepun yang dalam bahasa Inggeris adalah Japanese, yakni bahasa Orang Jepun dan bukannya Japan Language, iaitu bahasa negara Jepun.
Begitu juga halnya dengan nama bahasa lain dalam bahasa Inggeris. Kesemua namanya rata-rata merujuk kepada bahasa kelompok yang menuturkanya sebagai bahasa natif. Boleh dikatakan hampir tiada dinamakan berikutan nama negara.
Namun begitu, bagaimana pula dengan ungkapan American English, British English dan Australian English. Dalam pada itu, wujud pula ungkapan Singapore English sebagai tambahan baharu.
Dalam hal ini, kesemuanya didapati merujuk kepada negara di mana dituturkan, sama ada di AS, Britain, Australia atau Singapore.
Hal yang sama juga didapati wujud pada nama dialek atau loghat Melayu. Ia digolongkan mengikut negeri, seperti dialek Kedah, Kelantan dan Negeri Sembilan. Dengan ini, memberi pengertian dialek Melayu dinamakan berdasarkan negeri.
Selain sempadan negeri, lokasi wilayah juga selalu digunakan. Sebagai contoh, loghat utara yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak.
Berkenaan dengan nama sempena negeri dan wilayah ini, didapati dikaitkan dengan unsur kelainan yang wujud di kawasan geografi tertentu.
Untuk dialek Melayu, pelbagai jenis kelainan, termasuklah pertuturan di setiap negeri dengan beberapa ragam di dalamnya pula, didapati wujud mengikut daerah tertentu.
Sebagai contoh, dalam loghat Negeri Sembilan, perkataan bahasa Melayu baku negeri disebut sebagai nogori di Kuala Pilah dan negeri di Jelebu. Dalam loghat Pahang pula, perkataan bahasa Melayu baku rambut disebut sebagai ramot di Raub dan ramet di Benta yang jaraknya sangat dekat sahaja di antara satu sama lain.
Begitu juga dengan kewujudan pelbagai kelainan bahasa Inggeris ekoran perkembangan secara berasingan setelah tersebar luas daripada tanah asalnya di England. Dengan ini, bahasa Inggeris berubah menjadi sekian banyak kelainan yang kekadangnya amat berlainan antara satu sama lain.
Perubahan ini antaranya disebabkan unsur tempatan dan pertembungan antara budaya. Contoh unsur tempatan ialah ejaan yang berbeza antara American English dan British English untuk perkataan tertentu.
Untuk pertembungan budaya, dapat dilihat apabila penggunaan bahasa Inggeris perlu disesuaikan dengan peraturan sosial setempat.
NAMA BAHASA MENCERMINKAN IDENTITI PENUTURNYA
Berbalik kepada kelaziman penamaan bahasa yang mengambil nama kelompok yang menuturkan sesebuah bahasa itu, itulah sebenarnya cara bahasa Melayu diberikan namanya.
Dengan itu, nama bahasa Melayu bukan sahaja merupakan nama natif yang lahir daripada kelompok Melayu sebagai penuturnya, malah menjadi endonim, iaitu nama yang digunakan sendiri oleh masyarakat Melayu untuk menamakan bahasa mereka.
Dengan kata lain, bahasa Melayu adalah eponim, iaitu nama yang diberikan sempena nama kelompok yang menuturkannya sebagai bahasa natif. Di samping eponim ini, juga autonim, iaitu nama bahasa Melayu itu diberikan sendiri oleh kelompok Melayu yang menuturkannya sebagai bahasa ibunda, etnik dan leluhur.
Dengan ini, juga etnonim, iaitu nama Melayu yang digunakan itu merujuk kepada kelompok Melayu sebagai penutur jatinya.
Itulah cara penamaan bahasa Melayu yang juga merupakan kelaziman penamaan kesemua 7,000 bahasa di muka bumi ini. Sehubungan ini, bahasa Melayu selaki gus adalah eponim, autonim dan etnonim, iaitu berlandaskan nama kelompok yang menuturkannya sebagai bahasa natif.
Kini bahasa Melayu mahu diberikan nama lain, antaranya oleh mereka yang bukan daripada kelompok Melayu. Nama lain atau baharunya ialah bahasa Malaysia. Dengan ini, bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia bukan lagi endonim, iaitu nama sempena kelompok Melayu sebagai penutur jatinya.
Dengan perkembangan baharu ini, akan menjadi yang sebaliknya, iaitu eksonim. Dalam hal ini, eksonim ialah nama untuk sesuatu yang diberikan pihak luar, yakni yang tiada apa-apa kaitan kewatanan pun dengan sesuatu itu.
Dengan ini, nama bahasa Melayu sebagai endonim daripada kelompok Melayu sendiri, mahu dijadikan eksonim oleh mereka yang bukan pun Melayu. Ini mahu dilakukan dengan menukarkan namanya kepada bahasa Malaysia daripada bahasa Melayu.
Penukaran itu untuk menjadikan bahasa Melayu demonim. Dalam hal demonim ini, berupa nama bahasa Malaysia yang mahu diidentifikasikan dengan kelompok yang tinggal di negara Malaysia, lebih-lebih lagi untuk dikaitkan dengan nasionaliti Malaysia.
Walaupun itu hasratnya, endonim natif bahasa Melayu itu harus dilindungi kejituannya. Ini penting bukan sahaja untuk jati diri orang Melayu sendiri yang harus dipertahan. Ia juga identiti mereka yang perlu dikekalkan. Oleh itu, eksonim baharu bahasa Malaysia itu bukan sahaja tidak sesuai, juga hendaklah ditolak.
Penolakan eksonim didapati berlaku sejurus boleh dilaksanakan. Untuk ini, lihat bagaimana cepat eksonim Bombay dan Peking diubahkan kepada Mumbai dan Beijing apabila keadaan mengizinkan.
Hal ini juga berlaku di negara ini apabila nama Kota Kinabalu menggantikan Jesselton di Sabah dan Teluk Intan untuk Teluk Anson di Perak.
Sehubungan ini, bilakah beberapa eksonim penjajah mahu kita tukarkan kepada endonim natif? Antaranya termasuklah Georgetown di Pulau Pinang dan Port Dickson di Negeri Sembilan.
Sebenarnya dalam isu penukaran nama ke bahasa Malaysia ini, penghormatan budaya, khususnya warisan kelompok Melayu, hendaklah menjadi pertimbangan terutama. Sehubungan ini, budaya Melayu hendaklah selalu dihormati bukan sahaja pada sepanjang masa, juga untuk setiap perkara.
Sehubungan ini, budaya Melayu dalam melindungi endomin natif bahasa Melayu agar tidak ditukarkan menjadi demonim baharu bahasa Malaysia, adalah sangat penting.
Kepentingannya bukan sahaja untuk menghormati budaya Melayu sebagai tunjang utama kepada Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021. Juga untuk menegaskan identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Oleh itu, ada keperluan agar isu penukaran nama daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia bukan sahaja tidak diteruskan. Juga tidak diungkitkan lagi. Ini kerana memang terang-terangan melanggar resam penamaan bahasa di seluruh dunia.
Dengan ini, harus bahasa Melayu selama-lamanya. Sehubungan ini, pastikan pada sepanjang masa, adalah eponim, etnonim dan autonim dengan nama bahasa Melayu, bukannya demonim, apatah lagi eksonim pada nama bahasa Malaysia.
Selain semua ini, nama bahasa Melayu itu bukan sahaja amat cocok dengan nama bumi Melayu-Islam ini, khususnya Tanah Melayu, juga nama ini sangat sesuai dengan Malaysia yang ikut terdiri daripada Sabah dan Sarawak yang memang sifatnya Melayuan pada kelompok peribuminya, walaupun mereka bukan Melayu-Islam.
Dengan ini, nama bahasa negara kita ialah bahasa Melayu dan bukannya bahasa Malaysia. Sehubungan ini, bahasa kebangsaan kita ialah bahasa Melayu. Begitu jugalah dengan bahasa rasmi, yang juga bahasa Melayu. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).






