SETIAP kali membincangkan soal pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, kita sering menyenaraikan pelbagai faktor sebagai pemangkin utama.
Antaranya, pertumbuhan ekonomi yang mampan, kestabilan politik, dasar kerajaan yang berkesan, kemajuan teknologi, pendidikan berkualiti, modal insan berkemahiran tinggi, pelaburan domestik dan asing, inovasi, infrastruktur moden serta pengurusan kewangan yang cekap.
Tidak dapat dinafikan semua faktor ini penting dan saling melengkapi dalam membentuk sebuah negara yang maju dan makmur. Namun, terdapat satu faktor yang sering dipandang sebagai pelengkap, sedangkan pada hakikatnya merupakan asas kepada kejayaan semua faktor tersebut, iaitu integriti.
Ironinya, tanpa integriti, segala kekuatan yang dimiliki sesebuah negara hanya akan menghasilkan kemajuan yang bersifat sementara dan kosmetik.
Kemajuan fizikal mungkin dapat dibina, angka pertumbuhan ekonomi mungkin kelihatan memberangsangkan, malah pelbagai projek pembangunan boleh dilaksanakan.
Namun, jika semua pencapaian itu tidak berpaksikan kepada nilai amanah, kejujuran, akauntabiliti dan tanggungjawab, maka pembangunan tersebut akhirnya akan rapuh, tidak mampan dan gagal membawa kesejahteraan sebenar kepada rakyat.
Lebih membimbangkan, kemajuan yang dicapai dengan mengorbankan nilai dan kompas moral masyarakat bukan sahaja tidak diberkati, malah berpotensi menjadi punca kepada kemerosotan institusi, perpecahan sosial dan keruntuhan sesebuah negara.
Atas sebab itulah integriti tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai nilai peribadi atau prinsip etika dalam organisasi, sebaliknya perlu diangkat sebagai faktor utama yang memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Integriti merupakan ‘enjin senyap’ atau aset strategik yang menentukan sama ada sesuatu dasar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat atau sekadar menjadi dokumen yang indah di atas kertas.
Dalam konteks pembangunan negara, integriti memastikan setiap dasar, projek dan peruntukan awam dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Misalnya, nilai integriti yang tinggi membolehkan setiap ringgit dibelanjakan secara berhemat, setiap keputusan dibuat berpaksikan kepentingan awam dan setiap kuasa digunakan mengikut amanah yang diberikan.
Ironinya, apabila integriti menjadi budaya dalam pentadbiran, maka ketirisan dapat dikurangkan, pembaziran dapat dielakkan dan rasuah dapat dibendung sebelum menjadi virus yang merosakkan keseluruhan sistem.
Sebaliknya, tanpa integriti, pembangunan akan menjadi jauh lebih mahal daripada yang sepatutnya.
Tempoh masa penyiapan sesuatu projek kepentingan awam boleh mengalami kelewatan, kos boleh meningkat akibat penyelewengan, kualiti kerja akan dikompromi dan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat gagal dicapai sepenuhnya.
Dalam keadaan sedemikian, negara mungkin terus membangun dari sudut fizikal tetapi rakyat akan terus berdepan dengan masalah kos sara hidup yang tinggi terpaksa menggunakan kemudahan awam yang kurang berkualiti dan mencetuskan masalah jurang pembangunan yang semakin melebar.
Keadaan ini menunjukkan kemajuan tidak boleh hanya diukur melalui bangunan pencakar langit atau lebuh raya yang panjang tetapi juga melalui tahap integriti yang mendasari setiap proses kemajuan tersebut.
Integriti juga menjadi asas kepada keyakinan rakyat terhadap institusi negara. Rakyat akan lebih yakin untuk mematuhi undang-undang, menyokong dasar kerajaan dan bersama-sama menjayakan agenda pembangunan apabila mereka melihat kepimpinan yang telus, adil dan berakauntabiliti.
Jujurnya, kepercayaan merupakan modal sosial yang amat bernilai dalam sesebuah negara. Apabila tahap kepercayaan kukuh, pelaksanaan dasar menjadi lebih lancar, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat menjadi lebih erat sekali gus kestabilan negara dapat diperkukuhkan.

Pada masa sama, integriti turut memainkan peranan penting dalam menarik keyakinan pelabur. Pelabur bukan sahaja menilai insentif cukai atau saiz pasaran sesebuah negara, malah mereka turut mengambil kira tahap ketelusan pentadbiran, keutuhan undang-undang dan kecekapan institusi.
Negara yang terkenal dengan budaya integriti lazimnya lebih diyakini kerana risiko penyelewengan dan ketidaktentuan adalah lebih rendah. Keyakinan ini akhirnya diterjemahkan kepada peningkatan pelaburan, peluang pekerjaan yang lebih luas serta pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.
Lebih penting daripada itu, integriti membentuk kesejahteraan rakyat dalam erti kata yang sebenar. Kesejahteraan bukan hanya bermaksud peningkatan pendapatan atau kemudahan fizikal, tetapi turut merangkumi rasa aman, keadilan, kepercayaan dan peluang yang saksama.
Rakyat akan berasa lebih sejahtera apabila yakin bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, peluang pekerjaan diberikan berdasarkan merit, perkhidmatan awam disampaikan secara adil dan undang-undang dikuatkuasakan tanpa memilih bulu. Semua ini hanya mampu direalisasikan apabila integriti menjadi budaya dalam setiap lapisan masyarakat.
Integriti bukan hanya tanggungjawab pemimpin atau penjawat awam, sebaliknya nilai ini perlu menjadi budaya yang diamalkan oleh semua pihak termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan setiap anggota masyarakat.
Ingat, integriti bukan bermula di pejabat kerajaan semata-mata tetapi bermula daripada keputusan kecil yang dibuat setiap hari oleh setiap individu.
Dalam era yang semakin mencabar dengan perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan persaingan global, kepentingan integriti menjadi semakin signifikan. Kemajuan teknologi membuka peluang yang luas, namun pada masa yang sama turut meningkatkan risiko penyalahgunaan kuasa, penipuan digital, manipulasi maklumat dan jenayah siber.
Oleh itu, kemajuan teknologi perlu sentiasa dipandu oleh nilai integriti agar inovasi yang dihasilkan benar-benar membawa manfaat kepada manusia, bukannya menjadi alat untuk mengaut keuntungan dengan mengorbankan kepentingan masyarakat.
Malah, sejarah membuktikan banyak tamadun dan organisasi besar bukan runtuh kerana kekurangan sumber atau kelemahan teknologi tetapi akibat keruntuhan nilai integriti.
Apabila rasuah, penyelewengan mahupun salah guna kuasa menjadi budaya, institusi akan kehilangan kredibiliti, ekonomi akan merosot, pelabur akan menjauh dan rakyat akhirnya menanggung akibatnya.
Sebaliknya, negara yang berjaya mempertahankan budaya integriti lazimnya lebih berdaya tahan dalam menghadapi krisis dan lebih pantas bangkit untuk mencapai kemajuan yang berterusan.
Justeru, sudah tiba masanya untuk kita mengubah cara berfikir tentang nilai yang mencorakkan pembangunan negara. Integriti tidak seharusnya dianggap sebagai pelengkap kepada pembangunan tetapi perlu diangkat sebagai prasyarat utama demi pembangunan yang mampan.
Tuntasnya, apabila integriti menjadi budaya dan asas kepada setiap keputusan serta tindakan, pembangunan negara bukan sahaja dapat dipercepatkan, malah kesejahteraan rakyat dapat dinikmati secara adil, berkekalan dan diberkati. Itulah asas kepada sebuah negara yang benar-benar maju, dihormati dan mampu diwariskan dengan penuh bangga kepada generasi yang akan datang. –UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).






