PETALING JAYA: Bekalan makanan dilapor semakin kritikal di Semenanjung Gaza selepas konflik Palestin dan Israel berlarutan lebih sebulan sehingga ke hari ini.
Bercakap kepada Nexbyte, Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Mohd Johari Ismail berkata, walaupun hampir 800 kontena bantuan pelbagai barangan keperluan dilapor sudah memasuki wilayah itu setakat ini, ia masih belum mencukupi.
Katanya, ini kerana penduduk Gaza ketika ini memerlukan kira-kira 700 kontena barangan makanan sehari.
“Daripada pihak kami, tiga kontena termasuk di bawah bantuan kemanusiaan Ops Ihsan sudah dilepas masuk.
“Jadi, kita akan memberi fokus kepada bekalan makanan sebab sekarang ini, penduduk di Gaza menghampiri tahap kebuluran. Cuma, kita hanya mampu sampai kawasan tertentu dan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang boleh membantu.
“Alhamdulillah, MCM sejak hari keempat perang sehingga ke hari ini telah menyediakan makanan yang dimasak,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, media melaporkan, seramai 11,500 penduduk Palestin dilaporkan terkorban susulan serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober termasuk 4,710 kanak-kanak dan 3,160 wanita.
Dalam pada itu, sejumlah 29,800 mangsa pula dilaporkan cedera dengan kira-kira 70 peratus daripadanya adalah kanak-kanak dan wanita.
Pada masa sama, sebanyak 95 bangunan kerajaan, 255 sekolah dan 74 masjid musnah manakala 162 mengalami kerosakan, termasuk tiga gereja
Rejim Israel turut menyasarkan 52 pusat kesihatan dan 55 ambulans, sementara 25 hospital tidak lagi berfungsi.
Mengulas lanjut, Johari berkata, MCM akan meneruskan sumbangan kepada penduduk di Semenanjung Gaza walaupun perang seperti tidak akan mereda dalam masa terdekat ini.
“Selagi konflik tidak selesai, bantuan akan diteruskan hingga ke fasa selanjutnya termasuk fasa pembangunan semula.
“Sebab sekarang ini mereka lebih kepada mahu bertahan keana keadaan di sana sememangnya sangat kritikal,” katanya.
Pada masa sama, Johari mengecam tindakan rejim Zionis yang terus menyasarkan hospital termasuk pusat perubatan utama Gaza, Hospital Al Shifa selepas mendakwa Hamas mendapat perlindungan di kompleks kesihatan itu.
Katanya, ini kerana walaupun bekalan perubatan ada di bawa masuk, ia mungkin memakan masa untuk tiba di sana.
“Nampaknya macam ada agenda yang dibawa oleh penjajah lebih kepada pembunuhan dan bukan lagi memerangi mereka yang melawan,” katanya.
Sementara itu, Eksekutif Program Antarabangsa Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhamad Amirul Syafik Radzuan berkata, pihaknya sudah menyampaikan sumbangan berjumlah RM5.4 juta kepada penduduk Palestin, sejak 7 Oktober lalu meliputi makanan dan perubatan yang berjumlah RM2.6 juta dan RM2.8 juta untuk bantuan kewangan.
Selain itu, RM80,370 bagi bantuan bekalan bahan api dan RM145,089 bagi bantuan alat kelengkapan penyelamat.
“Namun, bantuan bekalan bahan api dan alat kelengkapan penyelamat sudah tidak dapat dilaksanakan ekoran bekalan yang sudah habis.
“Selain itu, CGM juga menyampaikan bantuan segera yang lain seperti menyediakan kanvas untuk dijadikan khemah sebagai tempat tinggal sementara.
“Kempen khusus juga dilakukan sebagai persediaan bantuan pasca perang antaranya baik pulih bangunan dan bantuan anak yatim dan keluarga para syuhada,” katanya. – UTUSAN






