KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan tidak berhasrat mengawal selia tambang e-hailing buat masa ini kerana ia boleh menyebabkan tambang yang dikenakan kepada pengguna juga mungkin meningkat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penentuan harga lantai e-hailing adalah kompleks dan perlu diimbangi antara pemandu dan pengguna.
“Pemboleh ubah seperti kesesakan trafik, cuaca, jarak, masa, jumlah permintaan dan penawaran menentukan padanan tempahan dengan penawaran secara langsung.
“Justeru, harga tambang juga fleksibel mengikut padanan faktor semasa,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Datuk Larry Sng (PBM-Julau) meminta kementerian menjelaskan tindakan susulan daripada kerajaan selepas pertemuan dengan beberapa pengendali syarikat e-hailing yang beroperasi di negara ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, individu yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diminta membuat permohonan segera manakala penerima sedia ada perlu mengemas kini data mereka.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan individu yang benar-benar layak sahaja menerima sumbangan tersebut.
Sehubungan itu, katanya, pemakluman berhubung status kelulusan STR dan pembayaran STR akan dipastikan sampai kepada pemohon melalui tiga cara, antaranya penghantaran surat kepada penerima yang lulus berdasarkan alamat yang didaftarkan dalam pangkalan data STR.
“Kedua, hebahan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke nombor telefon penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR, manakala ketiga semakan rasmi melalui portal rasmi STR di laman portal www.lhdn.gov.my ,” katanya menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading). – UTUSAN






