KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan RM1.1 trilion jumlah dana pelaburan sehingga 31 Ogos lalu dengan secara puratanya melibatkan pasaran domestik 64.9 peratus.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim berkata, selain KWSP, dana-dana pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) juga merangkumi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Bagi tempoh 2019 sehingga 31 Ogos, 2023, jumlah dana pelaburan PNB adalah RM332 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 84.3 peratus yang mana 74.4 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.
“Bagi dana pelaburan LTH, sehingga 31 Ogos, 2023, ia berjumlah RM91 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 90.1 peratus yang mana 18.3 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.
“Sehingga 31 Ogos 2023, jumlah dana pelaburan LTAT adalah RM10.5 bilion dengan keseluruhan dana dilabur dalam pasaran domestik yang mana 52 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse [PH-Tebrau] yang mahu mengetahui tentang jumlah pelaburan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan GLIC di Malaysia dan di luar negara dan jika keseluruhan pelaburan tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menguatkan pasaran ekuiti Malaysia.
Steven berkata, sepanjang tempoh 2019 hingga 31 Ogos 2023, sebahagian besar atau lebih 60 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam pasaran domestik.
Jelasnya, berdasarkan peruntukan aset strategik, antara 15.8 peratus hingga 62.7 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam ekuiti tersenarai domestik di Bursa Malaysia.
Selain itu, katanya, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) selaku pengurus dana kekayaan negara telah membuat pelaburan domestik sebanyak RM9.2 bilion dalam tempoh 2019 sehingga 2022 bersamaan 32.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang bernilai RM28.3 bilion.
“Dalam hal ini, peranan Khazanah tertumpu untuk mewujudkan nilai tambah melalui ‘active stewardship’ dalam syarikat pelaburannya untuk menyokong dan mengukuhkan nilai pasaran syarikat.
“Tumpuan Khazanah juga adalah kepada aset strategik dan aset pembangunan seperti sektor penerbangan dan pelancongan yang menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Sehingga 31 Disember 2022, jumlah portfolio pelaburan Khazanah dengan Nilai Aset Boleh Direalisasikan adalah sebanyak RM122.5 bilion dan daripada jumlah berkenaan, nilai pasaran pegangan Khazanah dalam negara adalah berjumlah RM81.2 bilion atau 66.3 peratus.
Berkenaan GLC, beliau berkata pelaburan syarikat lebih tertumpu kepada perbelanjaan modal domestik bagi mengembangkan syarikat termasuk pembelian aset untuk perniagaan dan operasi syarikat dengan sebahagian besarnya adalah syarikat seperti Tenaga Nasional Bhd, Malaysian Airport Holdings Bhd dan Telekom Malaysia Bhd yang merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Bhd. – UTUSAN






