PETALING JAYA: Ketua Aktivis Gabungan e-hailing Malaysia (GEM) menyifatkan kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat semalam sebagai tidak bertanggungjawab.
Bercakap kepada Nexbyte, Ketua Aktivisnya, Jose Rizal berkata, sebagai seorang menteri, jawapan yang diberikan Menteri Pengangkutan semalam tidak masuk akal dan seolah-olah tidak mempedulikan nasib dan keluh kesah penggiat e-hailing dan p-hailing.
“Sebagai seorang menteri yang berkuasa dan mempunyai segala kemudahan serta kelengkapan data semasa, mengapa jawapan sebegini masih boleh keluar daripada mulut seorang menteri,” katanya.
Semalam Nexbyte melaporkan, Kementerian Pengangkutan tidak berhasrat mengawal selia tambang e-hailing buat masa ini kerana ia boleh menyebabkan tambang yang dikenakan kepada pengguna juga mungkin meningkat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penentuan harga lantai e-hailing adalah kompleks dan perlu diimbangi antara pemandu dan pengguna.
Mengulas lanjut berkenaan isu terbabit, Jose Rizal berkata, pemandu e-hailing juga bakal berhadapan dengan pelbagai masalah melibatkan penindasan oleh pihak kapitalis sekiranya tiada langkah yang holistik dilakukan kerajaan.
“Tanpa ada tindakan daripada pihak kementerian, individu yang melibatkan diri dalam industri ini bakal berhadapan dengan penindasan oleh pihak kapitalis seperti yang berlaku kepada petani, nelayan dan pekebun,” katanya.
Jose Rizal berkata, pihak kerajaan perlu mengadakan persidangan meja bulat bersama pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi isu ini dengan segera selain meminda semula Akta (715) Pengangkutan Awam Darat 2010, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Katanya, kerajaan perlu memfokuskan lagi bantuan khusus kepada industri e-hailing dengan mengekalkan subsidi untuk SKSPS sebanyak 80 peratus untuk tahun ini.
“Kerajaan juga perlu mewujudkan Skim Mampu Milik kenderaan kepada pemandu e-hailing yang menyewa kenderaan dan memberilkan bantuan kewangan sebanyak RM500 yang terbeban dengan kos yang semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pemandu e-hailing Sungai Petani (PEHSP), Mohd. Sham Isa pula berkata, harga yang bakal ditetapkan masih berpatutan dan tidak membebankan pengguna.
“Kita bercadang meletak harga lantai bagi e-hailing kepada RM5 sehingga RM6, untuk satu-satu perjalanan berbanding RM4 sebelum ini,” katanya. – UTUSAN






