PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penipuan membabitkan individu yang menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi memperdaya mangsa hingga kerugian kira-kira RM720,495 sejak Januari lalu.
Bercakap kepada Nexbyte, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima 23 laporan berkaitan kes penyamaran sejak Januari lalu.
Katanya, mangsa menerima panggilan individu yang mendakwa pegawai NSRC diminta mengikut segala arahan sehingga mengakibatkan mereka membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan.
“Pegawai itu memaklumkan NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa kerana terdapat aduan bahawa nombor telefon itu telah menghantar pautan haram serta mesej penipuan.
“Panggilan itu kemudian disambung kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, NSRC adalah pusat yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan ia berbentuk komunikasi sehala sahaja.
“NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu dan sebarang panggilan yang mengaku daripada pihak NSRC adalah satu penipuan,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Ramli, sebanyak 15,133 panggilan yang diterima setakat 30 November lalu membabitkan kes penipuan yang berlaku dalam tempoh kurang 24 jam.
“Sejak penubuhannya, jumlah kerugian keseluruhan dicatatkan membabitkan kes NSRC adalah RM173.3 juta dan yang berjaya disekat adalah sebanyak RM33 juta bersamaan dengan 19 peratus dari nilai keseluruhan kerugian.
“Daripada jumlah itu, kita juga menerima purata aduan sebanyak 36 kes penipuan setiap hari,” katanya. – UTUSAN






