KUALA SELANGOR: Lebih 70,000 pengunjung dijangka membanjiri Program Madani Rakyat Zon Tengah yang berlangsung bermula hari ini hingga Ahad di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini.
Jangkaan tersebut adalah berdasarkan penganjuran karnival itu di peringkat zon tengah yang menyasarkan kunjungan orang ramai dari negeri ini sendiri, Kuala Lumpur, Putrajaya dan sebahagian Perak.
Menurut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Mohd. Yahya Sahri, kehadiran ramai dijangkakan apabila penganjuran karnival bukan menumpukan kepada Selangor semata-mata.
“Lebih 70,000 pengunjung itu dijangka, tetapi 50,000 itu sudah pasti untuk sepanjang tiga hari kerana pelbagai tarikan disediakan di samping pameran pada reruai oleh kementerian-kementerian, agensi kerajaan dan syarikat swasta.
“Selain itu, terdapat cabutan bertuah yang menjanjikan hadiah seperti kereta, motosikal serta barangan elektrik seperti televisyen dan sebagainya. Pada hari pertama pun, pameran sudah bermula dan malam ini akan ada program selawat diikuti dengan Subuh Challenge dekat Masjid Kuala Selangor pada esok pagi,” katanya kepada Nexbyte.
Beliau menambah, bagi program selawat dan Subuh Challenge itu, seramai 5,000 hingga 10,000 pengunjung dijangka menyertainya.
Dalam pada itu, Mohd. Yahya memaklumkan terdapat ratusan pameran diadakan pada Program Madani Rakyat Zon Tengah yang akan menumpukan kepada pendedahan dalam sektor pertanian moden.
“Ada banyak pameran-pameran perkhidmatan daripada pelbagai kementerian dan agensi termasuklah pendidikan, pengajian tinggi, industri pemakanan dan sebagainya. Cuma tumpuan kepada pertanian sebab dari Selangor Utara hingga ke Perak adalah kawasan pertanian.
“Penganjur pada siri ini adalah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, jadi pendedahan yang akan dibuat adalah berkenaan teknologi dalam pertanian moden supaya banyak produk-produk baharu di sini dapat di ketengahkan. Sudah tentu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) ada sekali,” jelasnya.
Tambahnya lagi, bagi kemudahan pengunjung, terdapat lot-lot parkir kenderaan disediakan di sekitar kawasan Kompleks Sukan Kuala Selangor serta bandar ini dan shuttle-bus atau trem kegunaan dari tempat letak kereta ke pekarangan stadium. – UTUSAN






