KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bermula hari ini dengan Titah Diraja sempena istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Ia merupakan perasmian yang pertama oleh Sultan Ibrahim sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 1 Februari lalu.
Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja akan menyusul keesokannya, sementara sesi penggulungan oleh menteri berkaitan akan bermula 11 sehingga 14 Mac 2024.
Bermula 18 sehingga 27 Mac pula, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan akan dimulakan.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijangka menyentuh beberapa isu hangat susulan beberapa insiden yang berlaku.
Ia termasuklah pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) di mana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar sebelum ini berkata, sesi libat urus bagi pindaan tersebut kini di peringkat akhir dan ia dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Selain itu, terdapat juga desas-desus antara usul yang turut mungkin dibangkitkan adalah usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia susulan beberapa langkah yang cuba diatur oleh beberapa pihak untuk menumbangkan kerajaan sebelum ini, termasuklah Langkah Dubai.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan bahawa tiada usul tidak percaya dibawa ke Parlimen oleh mana -mana pihak termasuk ahli Parlimen pembangkang.
Antara lain, isu penggunaan vape juga mungkin akan dibangkitkan berikutan penyalahgunaan rokok elektrik dari segi kandungannya.
Ini kerana kandungan dalam cecair vape tersebut tidak terkandung dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, sekali gus kerajaan perlu mengatasi kelompongan yang ada.
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang diluluskan Parlimen pada Disember lalu, menetapkan kawal selia menyeluruh dilaksanakan bagi pengeluaran semua produk merokok termasuk rokok elektronik seperti vape.
Akta itu bertujuan mengatasi kelompongan undang-undang susulan pengecualian cecair vape bernikotin daripada senarai bahan terkawal Akta Racun 1952, selain selari usaha kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) mulai 1 April 2023.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendesak kerajaan memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia kandungan vape.
Katanya, ketika ini, tidak ada sebarang peraturan yang dikenakan bagi kawalan bahan yang terkandung dalam peranti elektronik terbabit.
Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini dengan sidang pertama selama 19 hari bermula pada 26 Februari hingga 27 Mac.
Pada mesyuarat penggal kedua tahun lalu, Dewan Rakyat bersidang selama 74 hari. – UTUSAN






