KAJANG: Berbaki sebulan sebelum kedatangan Ramadan, Yayasan Maghfirah (YM) meneruskan Projek Kongsi Rezeki Ramadhan 2024 bagi menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di dalam dan luar negara.
Bertemakan ‘Berkongsi Rezeki, Manisnya Memberi’, pihak yayasan menyasarkan lebih 10,000 bakal menerima manfaat kempen dengan sasaran jumlah agihan sebanyak RM500,000, bagi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif YM, Muhammad Shuib Norudin berkata, bagi tujuan itu, pihaknya merancang untuk melaksanakan 20 projek sepanjang Ramadan termasuk projek kongsi rezeki dan jiwa peduli di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Sarawak, Sabah dan Kedah.
“Skuad Kita Bantu (SKB) merupakan kumpulan sukarelawan YM dengan kekuatan 800 orang di seluruh negara.
“Sukarelawan ini yang akan membantu menggerakkan projek kepada golongan sasar seperti asnaf, pusat anak yatim, pusat kebajikan, hospital terpilih, pusat tahfiz, kelas sahabat al-Quran dan pusat komuniti.
“Bantuan iftar di bawah projek sama juga melibatkan agihan kepada penerima di luar negara seperti Kemboja, Indonesia, Afrika, Turki, Lubnan dan Mekah. Projek Jiwa Peduli akan turut dijalankan seperti Food Bank Ramadan, bantuan barangan asas ambang Ramadan serta persediaan menyambut Hari Raya,” katanya semasa sidang akhbar di ibu pejabat YM, di sini, baru-baru ini.

Untuk rekod, tahun lalu, YM berjaya mengagihkan bantuan Ramadan berjumlah RM313,466 kepada 10,609 asnaf di seluruh negara. Bantuan juga berjaya disalurkan kepada penerima di Indonesia, Mesir dan Lubnan.
Pada masa sama, Muhammad Shuib berkata, pihaknya akan menganjurkan sebuah Majlis Amal Maghfirah berkonsepkan majlis berbuka puasa eksklusif bagi meraikan asnaf yang terdiri daripada anak yatim, pelajar tahfiz, orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dan anak-anak tajaan kelas Sahabat Al-Quran.
“Kita juga melancarkan Tabung Operasi YM dengan dana yang terkumpul melalui tabung ini akan digunakan khusus untuk menampung kos pengurusan agihan bantuan YM.
“Kami mensasarkan agihan bantuan pada tahun ini berlipat kali ganda melebihi tahun-tahun sebelumnya bagi memastikan lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu dan disantuni,” jelasnya.
YM juga melancarkan enam pakej sempena kedatangan Ramadan dengan pakej infaq bermula dari RM30 hingga RM1,000.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi YM, Siti Nor Mariam Said Abdul Malek Shah memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan projek pembangunan Pusat Latihan dan Dakwah (PLD) Yayasan Maghfirah di Lenggeng, Negeri Sembilan serta rangkaian sekolah Maghfirah.
Beliau menjelaskan projek itu bertujuan membangun masyarakat melalui pendidikan Islam yang menyeluruh merangkumi aspek jasmani, rohani dan intelektual.
“Tahun lalu, Maahad Tahfiz al-Maghfirah (Matam) sudah mula beroperasi. Bermula Mac ini, dua cawangan Sekolah Rendah Islam Integrasi Maghfirah (SRII Maghfirah) akan mula beroperasi.
“Kami juga mensasarkan penubuhan Maghfirah International Leadership Boarding School (MILBOS) Malaysia iaitu sebuah sekolah menengah berasrama penuh berkonsepkan pembinaan karakter, kepemimpinan, pendidikan Islam serta dilengkapi aktiviti berkuda dan berenang.
“Dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM60 juta di tanah seluas lima ekar di Lenggeng, setiap guru akan ditugaskan untuk memfokuskan perkembangan enam pelajar sahaja,” katanya. -UTUSAN






