KUALA LUMPUR: Kerajaan menggantung 94 syarikat pengendali kenderaan barangan selepas mereka gagal dalam proses audit pada tahun 2023.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, syarikat-syarikat pengendali berkenaan ada yang terlibat dengan kemalangan.
Sehubungan itu, katanya, kenderaan perdagangan diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan sebagai syarat wajib pembaharuan lesen.
“Kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang mengingkari peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir [PN-Setiu] berhubung inisiatif kerajaan bagi memasang Sistem Pengesanan Global (GPS) untuk mengawal had laju lori dan memastikan pengendali syarikat kenderaan berat menyelenggara kenderaan mereka mengikut waktu yang sepatutnya.
“Dalam hubungan ini, JPJ boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang membenarkan remaja di bawah umur memandu kenderaan motor tanpa suatu lesen memandu yang sah.
“Kesalahan ini boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 39 Akta 333 dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN






