PETALING JAYA: Prestasi positif dalam pasaran tetap dan sukuk pada tahun lalu dijangka akan mendorong kepada dividen Tabung Haji yang lebih baik pada 2023, yang dijangka diumumkan pada April ini.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini kerana kebanyakan aset pelaburan TH adalah dalam pasaran sukuk.
Katanya, dividen TH diunjurkan sama seperti 2022 atau meningkat sedikit antara 3.1 hingga 3.3 peratus.
“Peratusan pelaburan dalam sekuriti pendapatan tetap berdasarkan Alokasi Asset Strategik (SAA) adalah 58 peratus.
“Memandangkan prestasi dicatatkan pasaran pendapatan tetap atau sukuk adalah baik tahun lalu, maka pihak TH seharusnya dapat menjana pulangan pelaburan yang lebih baik dan positif pada tahun 2023,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Jelas beliau, dividen yang tinggi sudah pasti dapat membantu dalam mempercepatkan proses untuk mengumpul dana yang cukup untuk menunaikan ibadah haji.
“Kos kenaikan haji juga telah meningkat, jadi peningkatan dividen ini dapat membantu pendeposit mendapati dana yang cukup untuk menunaikan haji,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut menjangkakan dividen TH untuk tahun lalu di antara 3.0 peratus ke 3.3 peratus, iaitu setelah ditolak kadar zakat 2.5 peratus.
Katanya, prestasi ekonomi pada 2023 tidak dapat mencapai sasaran awal kerajaan antara empat ke 4.5 peratus, yang mana ia adalah selari dengan ekonomi global yang lesu.
Jelasnya, ini sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi pelaburan portfolio TH bagi 2023, terutamanya faktor luar kawalan seperti kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
“Tahun 2023, bantuan bayaran haji yang dikeluarkan TH adalah sebanyak RM265 juta dan jumlah bantuan kewangan haji dijangka meningkat bagi tahun 2024 berdasarkan kos kenaikan ke atas setiap jemaah haji.
“Bantuan secara bersasar ini dilihat berkesan bagi mengurangkan beban tanggungan TH yang terlalu tinggi dan perlu diseimbangkan. Ini kerana, TH juga perlu membayar agihan keuntungan kepada hampir 8.7 juta pendepositnya,” ujarnya. – UTUSAN






