SHAH ALAM: Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) menyerahkan RM2 juta wakalah zakat kepada kepada asnaf setiap tahun serta RM1 juta bagi membantu mangsa bencana alam di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Hashimi Abdul Manap berkata, antara bantuan yang diserahkan termasuklah barangan keperluan asas kepada golongan sasar atau memerlukan.
“Pada program hari ini contohnya kita menyampaikan bantuan di bawah CSR berupa barang keperluan asas seperti beras, gula pasir, tepung gandum, rempah ratus dan lain-lain.
“Seramai 250 orang dalam kalangan asnaf yang kita dapatkan data daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima bantuan tersebut hari ini,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan di Masjid Al Faizin Seksyen 28 di sini hari ini.
Beliau menambah, Gas Malaysia yang juga ahli Kumpulan MMC sentiasa prihatin dengan golongan masyarakat yang memerlukan terutama dalam kalangan asnaf.
“Inisiatif yang kita lakukan pada bulan Ramadan ini mencerminkan dedikasi syarikat kami untuk mengurangkan beban yang dihadapi golongan kurang berkemampuan.
“Gas Malaysia akan terus memberi sumbangan bagi memperkasakan masyarakat setempat dari masa ke semasa,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kejayaan Gas Malaysia dalam perniagaan secara tidak langsung membolehkan program CSR sedemikian berpanjangan. – UTUSAN






