KUALA LUMPUR : Peruntukan undang-undang sedia ada memadai untuk mengatasi penyelewengan yang berlaku dalam pelaksanaan struktur cukai sedia ada.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, dalam hal ini, pelaksanaan e-invois secara berperingkat bermula tahun ini akan membolehkan pengesanan ketidakpatuhan cukai dengan lebih berkesan.
“Kementerian akan memantau dari semasa ke semasa dan memastikan semua berjalan dengan sewajarnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) dalam soalan tambahan meminta kementerian menjelaskan langkah yang akan dilakukan bagi mengenal pasti penyelewengan dalam pengisytiharan cukai yang mungkin dibuat secara tidak jujur, dan adakah penguatkuasaan dan pemantauan akan dibuat dengan lebih tegas.
Mengulas lanjut, Hui Ying turut berkata, kerajaan akan terus komited dalam konsolidasi fiskal bagi jangka sederhana.
Jelasnya, tumpuan khusus akan diberikan untuk memastikan kemampanan fiskal dapat dicapai melalui penjanaan hasil yang mampan dan keberkesanan perbelanjaan melalui peningkatan kecekapan, mengurangkan ketirisan dan pembaziran.
Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan yang kerajaan akan memberi perhatian lebih kepada golongan B40 dan sebahagian M40 yang terkesan dengan terpaksa membayar cukai secara berlebihan.
“Kerajaan akan memberi bantuan untuk mengurangkan pembayaran cukai tersebut, namun begitu golongan selebihnya dijangka mempunyai keupayaan untuk menganggung beban tersebut kerana kerajaan tidak akan meletakkan cukai yang terlalu drastik,” ujarnya. –UTUSAN






