PETALING JAYA: Gas sulfur dioksida tinggi terbentuk daripada letusan Gunung Ruang yang bergerak melalui atmosfera rantau Asia Tenggara membawa kesan buruk kepada kesihatan manusia selain merosakkan harta benda serta ekosistem.
Bercakap kepada Nexbyte, Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Mohd Talib Latif berkata, letusan gunung berapi seperti ini biasanya memiliki kesan jangka panjang terhadap ekosistem dan iklim dan mempengaruhi perubahan iklim berdasarkan skala letusan tersebut.
Menurutnya, bagi pesakit yang mempunyai masalah pernafasan, pergerakan keluar rumah juga harus terbatas mengikut keperluan.
“Langkah berjaga-jaga harus dilakukan melalui pemantauan pergerakan arah angin ke sesuatu kawasan,” katanya.
Dalam pada itu, pakar meteorologi, Profesor Datuk D.r Azizan Abu Samah berkata, di Sabah ketika ini, arah angin berada pada aras 13 hingga 15 kilometer.
“Arah angin ini membawa debu dari gunung meletus ke arah utara Borneo Sabah dan disebabkan itu laluan terbang yang berisiko terkena debu Gunung Ruang.
“Kesimpulannya, hanya laluan penerbangan sahaja yang akan terjejas dengan debu Gunung Ruang,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, tiada sistem teknologi yang boleh digunakan untuk mengatasi perkara itu, namun orang ramai perlu menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.
“Debu Gunung Ruang berkait dengan letupan yang tidak boleh dihentikan serta aliran udara juga tidak boleh diubah.
“Oleh itu, kita perlu memantau dan juga melakukan ramalan arah angin serta bagaimana debu akan dibawa oleh angin tersebut,” katanya.
Antara langkah yang wajar dilakukan adalah mengelak kawasan berdebu tinggi dan berbahaya pada pesawat serta menukar laluan penerbangan atau jadual penerbangan yang mengurangkan risiko merentasi kawasan debu tebal. – UTUSAN






