MANILA: AirAsia Filipina membatalkan penerbangan ke dan dari Kota Kinabalu di Malaysia selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 April berikutan letusan Gunung Ruang di Pulau Sulawesi, Indonesia.
Gunung berapi itu memuntahkan abu ke udara, menjejaskan penglihatan dan ruang udara di rantau ini.
Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Awam AirAsia Filipina, Steve Dailisan berkata, pihaknya sedang berkoordinasi rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan memandangkan keadaan itu berterusan.
Katanya, walaupun pembatalan boleh menyebabkan ketidakselesaan pada rancangan perjalanan tetamu mereka, namun, AirAsia tidak akan berkompromi berhubung keselamatan penerbangan itu.
“Penerbangan yang terjejas ialah Z2 503 dari Manila ke Kota Kinabalu pada 18 April dan Z2 504 dari Kota Kinabalu ke Manila pada 19 April,” katanya.
Penumpang yang terjejas oleh pembatalan penerbangan boleh sama ada menukar penerbangan mereka kepada tarikh perjalanan baharu dalam tempoh 30 hari pada laluan yang sama tanpa kos tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk, atau menerima akaun kredit yang sah untuk perjalanan pada masa hadapan dengan AirAsia sehingga dua tahun.
AirAsia menasihatkan pelanggan untuk menyemak emel berdaftar mereka, telefon bimbit, bilik berita AirAsia, atau airasia.com/flightstatus untuk kemas kini jadual penerbangan terkini.
Gunung Ruang, gunung berapi strato yang terletak di wilayah Sulawesi Utara di Indonesia, meletus sejak tiga hari lalu menyebabkan pihak berkuasa menutup lapangan terbang berhampiran dan mengeluarkan amaran tsunami.
Letusan itu juga menjejaskan perjalanan udara di Indonesia, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di Manado ditutup akibat awan abu gunung berapi.
Selain itu, penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di negara jiran Malaysia juga terganggu.
Sebagai tindak balas kepada letusan itu, Malaysia Airlines mengumumkan pembatalan beberapa penerbangan ke dan dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak, semalam berikutan kebimbangan keselamatan terhadap abu gunung berapi. -AGENSI






