JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia semalam menurunkan tahap amaran gunung berapi di kawasan letusan Gunung Ruang manakala lapangan terbang antarabangsa yang berhampiran dengan lokasi berkenaan dibenarkan beroperasi semula selepas ditutup selama beberapa hari.
Sebelum ini, pihak berkuasa Indonesia memberi amaran terhadap ancaman keselamatan Gunung Ruang yang mengeluarkan letupan lava, batu dan abu pada minggu lalu yang memaksa pemindahan ribuan penduduk di sekitar gunung berapi itu.
Selepas beberapa hari, aktiviti gunung berapi berkenaan kembali tenang dan agensi gunung berapi negara itu menurunkan tahap berjaga-jaga ke tahap kedua tertinggi sistem empat peringkat, semalam.
Menurut Ketua Agensi Volkanologi Indonesia, Hendra Gunawan, berdasarkan hasil pemantauan visual dan sistem terhadap aktiviti gunung berapi berkenaan yang semakin menurun, pihaknya telah menurunkan tahap keselamatan daripada tahap empat kepada tahap tiga.
Agensi berkenaan juga mengecilkan zon pengecualian daripada enam kepada empat kilometer atau 3.5 hingga 2.5 batu nautika daripada kawasan letusan gunung berapi tersebut.
Pihak berkuasa Indonesia berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di ibu kota wilayah Manado iaitu lebih 100 kilometer dari Gunung Ruang dibuka semula pada petang semalam.
Pembukaan lapangan terbang berkenaan dilakukan selepas beberapa hari ditutup manakala beberapa syarikat penerbangan dari Singapura, Korea Selatan dan China terpaksa membatalkan penerbangan masing-masing akibat abu gunung berapi yang tersebar luas di ruang udara.
Lebih 11,000 keluarga di Pulau Tagulandang yang berhampiran dengan gunung berapi berkenaan yang menempatkan kira-kira 20,000 orang penduduk dipindahkan di luar zon terkecuali sejak Gunung Ruang meletus, bagaimanapun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, mengalami fenomena alam semula jadi dan aktiviti gunung berapi yang kerap disebabkan oleh kedudukannya di lingkaran gunung berapi Pasifik. -AGENSI






