PETALING JAYA: Penubuhan Ombudsman Malaysia dan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Oktober ini.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, namun sebelum itu, proses sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak diadakan dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, segala pandangan akan diteliti Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi Institusi dan Undang-Undang sebelum mengemukakan cadangan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.
“Sesi libat urus bersifat menyeluruh dengan pihak berkepentingan pada peringkat negeri dan Persekutuan termasuklah agensi terlibat, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat sivil, Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat berkenaan dan ahli akademik bidang berkaitan.
“Hasil sesi libat urus akan dikaji dan dipertimbangkan Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi Institusi dan Undang-Undang sebelum butiran terperinci mengenai kedua-dua cadangan diteliti semula termasuklah daripada segi ruang lingkup, struktur dan fungsi Ombudsman Malaysia serta penubuhan agensi berpusat bagi perlindungan pemberi maklumat sebelum mengemukakan cadangan bagi pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.
“Kedua-dua reformasi undang-undang ini dihasratkan untuk dibentangkan dalam Sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15 pada bulan Oktober nanti,” kata BHEUU dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi Institusi dan Undang-Undang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof telah bersetuju secara prinsip terhadap cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia yang komprehensif dan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi menambah baik mekanisme perlindungan sedia ada dan memantapkan aspek pelaksanaannya
Pada masa sama, mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi Institusi dan Undang-Undang itu merupakan kali pertama diadakan selepas Jemaah Menteri pada 3 April bersetuju menubuhkan jawatankuasa tersebut.
“Jawatankuasa ini adalah seiring dengan hasrat Kerajaan Madani bagi memastikan usaha
reformasi institusi dan undang-undang dapat dilaksanakan dengan lebih segera selepas mengambil kira pelbagai cabaran, sudut pandangan dan opsyen penyelesaian terbaik.
“Ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk ahli politik, aktivis masyarakat, rakyat di lapangan serta pihak yang berkepentingan bagi memastikan usaha reformasi institusi dan undang-undang dapat
dilaksanakan dengan berkesan dan bertanggungjawab,” kata kenyataan itu. – UTUSAN






