KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli menegaskan beliau akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu sebarang siasatan.
Dalam masa sama, beliau kecewa dengan berita yang tersebar kononnya dia ditahan selain menekankan kepentingan mencari dan mendapatkan berita sahih.
Beliau juga memaklumkan sudah memberi keterangan kepada SPRM.
“Alhamdulillah, memberi keterangan. Penting untuk mencari dan dapatkan berita yang sahih. Jangan jadi penyebar kepada berita palsu. Seperti yang saya tegaskan, saya akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.
“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Insya-Allah. Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda,” katanya dalam status Facebooknya di sini hari ini.
Terdahulu Nexbyte melaporkan, Mohd Shukri dipanggil memberi keterangan kepada SPRM pagi ini berhubung dakwaan kes salah guna kuasa.
Menurut sumber, beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan kes itu.
Minggu lalu, media melaporkan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis bersama seorang pegawai kanan kerajaan negeri dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu.
Kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tiga hari ditahan reman.
Semalam media juga melaporkan, SPRM akan
menyiasat seorang pemimpin politik kerana disyaki melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengan anaknya membabitkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.
Satu sumber memberitahu, pemimpin tersebut disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja seperti membaik pulih dan melakukan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar.
Kata sumber itu, projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin tersebut dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya. – UTUSAN





