PETALING JAYA: Ketirisan cukai akibat kegiatan sindiket mengimport ayam sejuk beku secara tidak sah di Sabah mencecah RM1.01 juta setakat ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, nilai ketirisan cukai itu membabitkan barangan yang terdapat dalam 10 kontena berkenaan.
Katanya, SPRM menyita 10 kontena mengandungi barangan bernilai RM3.74 juta dalam operasi membongkar kegiatan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati sindiket terbabit membuat pengisytiharan tidak benar dengan mengisytiharkan ayam sejuk beku yang dibawa masuk sebagai sayur-sayuran.
“Risikan bagi mengumpul maklumat dan mengenal pasti pihak yang terbabit sebenarnya bermula sejak awal Ogos lalu, manakala kegiatan sindiket ini dipercayai telah bermula sejak 2006,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Hasil operasi yang dilaksanakan pada 11 Ogos lalu, seramai tujuh individu ditahan terdiri daripada tiga pengusaha dan empat penjawat awam.
“Kesemua mereka dikenakan tahanan reman oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selama tiga hari bermula 12 Ogos ini,” jelasnya.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan SPRM sedang berusaha mengesan individu lain yang terbabit, selain meneliti kemungkinan wujud kesalahan lain berkaitan kegiatan berkenaan.
Semalam, media melaporkan tujuh individu termasuk empat penjawat awam direman SPRM kerana disyaki memberi rasuah kepada pegawai pihak berkuasa di sebuah pelabuhan di Sabah.
Sebanyak 10 kontena ayam sejuk beku yang diimport dari China dan Poland secara tidak sah turut disita dalam operasi itu dan disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – UTUSAN





