KUANTAN: Kerajaan negeri memperkenalkan program Karya Anak Pahang bagi mencungkil bakat penulis muda serba boleh sebagai pelapis bagi menggantikan legasi penulis veteran.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, program ini bagi memastikan kesinambungan penulis besar kelahiran Pahang yang mewarnai kegiatan sastera nasional diteruskan oleh generasi baharu.
Menurutnya, penulis kelahiran Pahang memiliki karya bersifat adikarya sejak sebelum Perang Dunia Kedua sangat berpengaruh dibaca peminat sastera dalam dan luar negara.
“Di antara sasterawan terkemuka di negeri ini, terlebih awal daripada karyawan semasa seperti Datuk Aripin Said, Roslan Madun, Mohd. Mansur Abdullah dan Cikgu Teo Wei Sing, Pak Sako, Ibrahim Omar dan Sasterawan Negara Pertama, Keris Mas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Sastera Darul Makmur 2024 anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) di sini. – UTUSAN
FADZLI MOHAMAD KAMAL (kanan) menyampaikan anugerah Karyawan Sepanjang Hayat kepada Dr. Aminudin Mansor @ Ami Masra sempena Hadiah Sastera Darul Makmur di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/






