BESUT: Seekor gajah jantan yang ditangkap selepas berkeliaran sejak dua minggu lepas di Kampung Pak Sik, Hulu Besut, dekat sini, berjaya dipindahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, hari ini.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, operasi memindahkan mamalia itu melibatkan seramai 21 anggota Perhilitan daripada Terengganu dan Johor.
Menurutnya, gajah liar tersebut berjaya ditangkap pada pukul 3 petang, Rabu lalu.
“Operasi ini bermula seawal pukul 8.30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 11.30 pagi itu dibantu oleh dua ekor gajah denak iaitu Suria dan Indah yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu,” katanya ketika ditemui di Kampung Pak Sik Hulu Besut di sini, hari ini.
Kean Seong berkata, pemindahan gajah tersebut dapat mengelak kerugian lebih besar yang boleh mencecah sehingga RM1 juta memandangkan penduduk kampung itu mengusahakan pelbagai jenis tanaman seperti kelapa sawit dan pisang.
Pada 10 Mei lalu, Nexbyte melaporkan seorang pekebun tidak sempat menuai hasil tanaman pisang dan kelapa sawit yang diusahakan selepas musnah diserang gajah liar di Kampung Pak Sid, Hulu Besut di sini pada 5 Mei alu.
Zu Zazuwan Talib, 42, berkata, kira-kira 80 pokok pisang dan 30 pokok sawit yang ditanam di kawasan seluas 1.6 hektar telah dirosakkan haiwan liar itu.
Menurutnya, kerosakan pokok pisang dan kelapa sawit tersebut mengakibatkan dia mengalami kerugian lebih RM3,000. – UTUSAN






