KANGAR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dalam proses bagi penjenamaan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Residensi Rakyat (PRR) dalam menyediakan model perumahan bertaraf dunia.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, model yang akan digunakan menerusi pelaksanaan PRR itu adalah sama seperti mana dilakukan di Singapura, Jepun dan Korea Selatan.
Katanya, buat masa ini, kerajaan juga telah membelanjakan sebanyak RM12 bilion bagi pembinaan sebanyak 116,000 unit rumah PPR untuk rakyat.
“Untuk PPR, kerajaan telah beri subsidi besar iaitu satu unit rumah di pasaran bernilai RM300,000, namun menerusi pembelian PPR mereka hanya perlu membayar sebanyak RM45,000 sahaja dengan subsidi sebuah unit diberikan kerajaan sebanyak RM265,000.
“Saranan saya kepada mereka yang beli PPR agar jangan jual kerana kerajaan telah memberi subsidi yang sangar besar,” katanya ketika ditemui selepas Program Sentuhan Kasih KPKT ke Negeri Perlis di Kangar Street Art, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan barisan exco kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, KPKT juga memperuntukkan RM2.96 juta buat PPR Sena di sini bagi tujuan penggantian enam unit lif dan telah selesai dilaksanakan sebelum ini.
“Projek ini memanfaatkan 1,864 penghuni PPR Seri Sena dan inisiatif ini dilaksanakan bertujuan bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk di sana.
“Pada tahun ini, lima projek Program Penyelengaraan Perumahan (PPP) dengan jumlah RM1.7 juta juga telah diluluskan KPKT untuk kawasan perumahan awam Kangar termasuk pendawaian elektrik, penggantian paip retokulasi, penggantian bumbung dan beberapa lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Kor Mong berkata, KPKT juga turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi menyokong inisiatif Kajian Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040 (Kajian Semula) bagi memperkasakan pembangunan di negeri ini sebagai sebuah bandaraya mampan, inklusif dan makmur.
Tambahnya, sebanyak RM100,000 turut diperuntukkan bagi menyokong inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Perlis 2024 bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat.
“Malah sejumlah RM480,000 diperuntukkan bagi membina semula enam unit gerai di Pasar Borong Sena dan RM1.38 juta turut disalurkan kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk menaik taraf lampu, tandas awam dan pasar,” katanya.-UTUSAN






