KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mempertimbangkan pelaksanaan inisiatif 1 Projek Perumahan Rakyat (PPR) 1 Ambulans bagi memastikan penduduk berpendapatan rendah (B40) di kawasan bandar mendapat akses perkhidmatan kecemasan dengan lebih cepat dan menyeluruh.
Cadangan itu dilihat dapat mengatasi kesukaran dihadapi penduduk di kawasan perumahan tersebut yang sering berdepan cabaran mendapatkan ambulans apabila berlaku kecemasan khususnya dalam kalangan warga emas, pesakit kronik dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.
Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Lembah Subang 2, Endi Susilo Tasiron berkata, kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan terpaksa bergantung kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sumbangan orang ramai bagi menampung kos sewaan ambulans yang tinggi.
Katanya, bantuan yang diterima daripada NGO pula tidak menentu dan bergantung kepada kelulusan serta kemampuan pihak berkenaan untuk menyalurkan bantuan.
“Bantuan daripada NGO ini bukanlah 100 peratus. Kalau berlaku apa-apa kecemasan, kami akan cuba mohon ambulans daripada mana-mana pihak yang boleh membantu. Ada masa permohonan diluluskan, ada juga yang tidak.
“Setiap kali ada penduduk yang memerlukan, pihak persatuan akan berusaha sedaya upaya mencari saluran bantuan agar pesakit dapat dibawa ke hospital dengan segera,” katanya kepada Nexbyte.
Sebelum ini, Mingguan Malaysia melaporkan, kos ambulans yang mencecah sehingga RM600, ditambah kesukaran pesakit terlantar untuk bergerak mendapatkan rawatan merupakan antara masalah yang membelenggu penduduk flat khususnya PPR.
Di sebalik bergelut untuk menyara kehidupan seharian, rata-rata mereka yang uzur terpaksa menanggung penderitaan dengan tidak mendapatkan rawatan lanjut, khususnya beban kos pengangkutan sehingga mengabaikan kesihatan.
Kos pengangkutan ke hospital khususnya melalui perkhidmatan ambulans swasta menjadi beban tambahan, lebih-lebih lagi apabila keadaan kesihatan pesakit yang tidak membolehkan mereka bergerak sendiri.
Endi berkata, inisiatif kerajaan menyediakan sekurang-kurangnya satu ambulans di setiap PPR mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan golongan B40, selain memastikan bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan lebih pantas tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pihak luar.
Katanya, usaha mendapatkan bantuan ambulans juga tidak tertumpu kepada satu NGO sahaja, sebaliknya persatuan penduduk akan menghubungi mana-mana pihak yang boleh membantu, bergantung kepada keperluan dan keadaan pesakit.
“Kalau penduduk yang kurang mampu perlu ulang-alik ke hospital, persatuan akan bantu mendapatkan ambulans melalui jawatankuasa atau pihak lain yang sedia membantu supaya mereka tetap mendapat rawatan tepat pada masanya,” katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Mustaffa Kamal Syaripuddin berkata, inisiatif 1 PPR 1 Ambulans bukan sekadar soal kemudahan, tetapi satu keperluan asas bagi golongan B40 yang berdepan risiko kesihatan serta kekangan pengangkutan.
Katanya, walaupun inisiatif seperti Mendaya Komuniti berkesan membantu penduduk dari aspek sosial dan kesihatan, manfaatnya belum menyeluruh kerana hanya tertumpu di kawasan yang giat digerakkan oleh NGO. – UTUSAN






