PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini menggunakan pakaian baharu dalam tugas-tugas membabitkan operasi.
Pelancaran pakaian operasi baharu itu telah diperkenalkan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob sempena ulang tahun TLDM ke-90.
Menurut TLDM, pakaian yang diperkenalkan itu merupakan langkah strategik dalam memperkuatkan keupayaan pertahanan TLDM.
“Ia dilaksanakan menerusi konsep keseragaman warna yang diinspirasikan daripada aset utama TLDM seperti kapal dan pesawat udara.
“Dengan menggunakan fabrik dan teknologi moden, ia sesuai untuk pakaian taktikal. Pakaian seragam baharu itu telah ditambah baik menjadi lebih kondusif dan amat sesuai digunakan ketika penugasan operasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Majlis Pelancaran Pakaian Operasi TLDM yang baharu telah diadakan di Kapal Diraja (KD) Lekiu di Pangkalan TLDM Lumut Perak. – UTUSAN





