PETALING JAYA: Lebih 300 usahawan mikro di Bazar Karat Johor Bahru menyertai program pendigitilan pasar tanpa tunai Jajahan Rakyat, hasil anjuran Bank Rakyat dengan Kerajaan Negeri Johor dan beberapa agensi lain.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan ekonomi sosial peniaga kecil di Johor.
“Inisiatif ini bagi menyokong dan memperkasa usahawan mikro di Bazar Karat dengan menyediakan kemudahan khemah dan ekosistem tanpa tunai yang lebih baik,” katanya ketika majlis pelancaran inisiatif tersebut.
Katanya, peniaga turut menerima insentif khemah dilengkapi dengan kaedah pembayaran digital Bank Rakyat sebagai usaha meningkatkan ekonomi digital Negeri Johor.
“Sebagai usaha memperkasa ekonomi digital, kerajaan negeri sentiasa meneroka dan memperkenalkan inisiatif baharu yang mampu mewujudkan ekosistem keusahawanan berdaya saing bagi memacu ekonomi tahap lebih baik demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Mohamad Shiblie Abg Sapuan pula berkata, usaha pendigitalan itu bagi memacu aspirasi kerajaan dalam memperkasa segmen perniagaan informal termasuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi, di samping membantu PMKS menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital.
“Peniaga terlibat kini boleh memanfaatkan produk dan kemudahan perbankan digital Bank Rakyat termasuk aplikasi i-MerchantRAKYAT yang dilengkapi QR DuitNow bagi membolehkan penerimaan bayaran transaksi tanpa tunai melalui kod QR; Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i); kemudahan pos terminal dan banyak lagi.
“Kerjasama strategik ini turut mencerminkan komitmen Bank Rakyat bagi menyantuni golongan ‘unserved and underserved’ untuk menjana ekonomi lestari, sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani, Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 Bank Negara Malaysia serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” ujar Mohamad Shiblie. – UTUSAN






