PETALING JAYA: Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu, tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari (tertuduh pertama) dan Ismanira Abdul Manaf (tertuduh kedua) meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, di antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Anis Hakimah Ibrahim.
Bapa Zayn Rayyan diwakili peguam-peguam Fahmi Abd. Moin dan Ilyani Khuszairy manakala Mahmud Jumaat, Bani Prakash, Hazwan Ayob, Izhar Azmi dan Yusri Yusoff mewakili Ismanira.
Syahliza membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan agar melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan hingga kes selesai.
“Tertuduh-tertuduh dan wakil mereka juga dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai,” demikian perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Terdahulu, Ku Hayati memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat-syarat tambahan tersebut termasuk pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Hujah pendakwaan, kesalahan yang didakwa itu serius dengan mengambil kira mangsa diabaikan yang membawa kepada kematiannya.
Terdahulu, pasukan pembelaan berhujah jaminan itu terlalu tinggi dan memohon jaminan RM5,000 diberikan terhadap kedua-duanya.
Fahmi menghujahkan, Zaim Ikhwan yang merupakan penanggung tunggal keluarga mempunyai pendapatan tidak tetap.
Mahmud pula berkata, Ismanira kini tidak bekerja dan perlu mendapatkan rawatan untuk anak kedua mereka yang mengalami masalah pertuturan dan autisme yang teruk.
“Kedua-dua anak guam tidak berisiko melarikan diri kerana sudah memberikan kerjasama yang baik ketika siasatan dijalankan,” ujar peguam-peguam berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut pada 26 Julai ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN






