SHAH ALAM: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin akan memfailkan rayuan penangguhan hukuman penjara sekali lagi dalam tempoh tiga hari selepas keputusan Mahkamah Tinggi, hari ini.
Rayuan oleh Ismanira Abdul Manaf akan difailkan bagi membenarkan penangguhan hukuman itu sementara rayuan terhadap sabitan bersalahnya didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.
Suaminya, Zaim Ikhwan Zahari berkata, pihak keluarga akan menggunakan sepenuhnya tempoh rayuan yang masih terbuka.
“Saya akan membuat rayuan semula dalam tempoh rayuan terhadap keputusan itu boleh dibuat dalam tempoh tiga hari,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah ketika menghadiri prosiding rayuan penangguhan hukuman terhadap isterinya, hari ini.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin menolak permohonan Ismanira, 30, untuk menangguhkan hukuman penjara yang dijalaninya sejak akhir Oktober lalu.
Keputusan tersebut dibuat selepas mahkamah meneliti hujahan bertulis dan mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak pemohon dan responden.
“Mahkamah menolak permohonan dan mendapati tiada keperluan khas serta unsur-unsur yang membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan tersebut,” katanya.
Pada prosiding tersebut, Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh, sementara pendakwaan sebagai responden terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman.
Pada 31 Oktober lalu, Hakim Dr. Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun di Penjara Kajang terhadap Ismanira.
Selain itu, mahkamah juga mengeluarkan perintah bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM3,000 yang perlu dijamin oleh seorang penjamin warganegara Malaysia, serta perintah khidmat masyarakat sebanyak 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat tempoh pemenjaraan.
Ismanira didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh yang berusia 30 tahun itu di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartmen Idaman antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023. – UTUSAN






