PETALING JAYA: Ibu dan bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin selesai membayar wang jaminan berjumlah RM20,000 selepas menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengabaikan kanak-kanak autisme itu.
Kedua-dua tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf dibebaskan pukul 12.40 tengah hari dan dilihat menaiki sebuah kenderaan Perodua Myvi berwarna putih.
Terdahulu kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mereka dikehendaki hadir ketika pada sebutan yang ditetapkan pada 26 Julai ini dan sepanjang tempoh perbicaraan sehingga kes selesai.
Wang jaminan RM10,000 setiap seorang boleh dirampas oleh mahkamah jika tidak hadir ketika prosiding.
Zaim Ikhwan (tertuduh pertama) dan Ismanira (tertuduh kedua) yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini antara pada pukul 12 tengah hari pada 5 Disember hingga pukul 9.55 malam pada 6 Disember lalu. – UTUSAN






