KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akur dengan pendakwaan dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, beliau berbangga dengan pencapaian oleh ‘anak buahnya.’
Beliau berkata, ini kerana pencapaian kes berkenaan tidak menghala kepada seperti yang diharapkan iaitu pertuduhan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.
Namun, kes hari ini dituduh mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam sidang akhbar khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Bukit Aman pagi tadi, beliau sempat merumuskan satu ayat pendek ketika mengakhiri pertemuan itu.
Kata beliau, proses pertuduhan yang dibuat hari ini adalah keputusan terbaik yang diputuskan antara Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ dan pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“We are so close yet so far (Kita sudah dekat tapi masih jauh),” katanya.
Penyataan itu disampaikan secara berkias yang berkemungkinan merumuskan pihak polis telah menggunakan segalanya dalam menyelesaikan kes ini, namun peruntukan undang-undang mempunyai perspektif yang berlainan.
Mengenai sama ada pendakwaan hari ini melangsaikan ‘hutang’ beliau, Mohd. Shuhaily menyatakan bahawa hutang tersebut akan terus menjadi rahsia dengan dada yang lapang.
Jelas beliau, penyelesaian kes ini adalah menzahirkan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pegawai dan anggotanya.
“Mereka ini berhempas pulas menjalankan siasatan tanpa mengira penat lelah siang dan malam dalam bekerja secara ikhlas dalam melaksanakan amanat dan tanggungjawab yang diberikan.
“Mereka ini seharusnya wajar diberikan penghargaan sedalam-dalamnya selepas melunaskan tugas mereka sepanjang tempoh enam bulan,” jelasnya.
Sehubungan kes ini, Mohd. Shuhaily meminta semua pihak untuk tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung pernyataan-penyataan tidak tepat sepanjang siasatan dijalankan PDRM sebelum ini.
“Segala keterangan penuh boleh diikuti menerusi prosiding perbicaraan di mahkamah yang dijangka Julai ini.
“PDRM menyeru kepada orang ramai untuk tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi sehingga boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dan kenyataan yang tepat hanyalah daripada pihak polis,”ujarnya.
Beliau mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak melanggar mana-mana undang-undang sehingga boleh menjejaskan prosiding siasatan dan subjudis kepada perbicaraan kes. – UTUSAN





