KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada di bawah bidang kuasanya dalam siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Sepanjang enam bulan siasatan sejak Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) turut menggerakkan semua aset dan logistik dimiliki PDRM dalam menyelesaikan kes berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, setiap butiran terperinci dari sekecil-kecil fakta, keterangan dan bukti dianggap penting dalam menyelesaikan kes pembunuhan kanak-kanak ini.
“Secara spesifiknya, satu pasukan khas dibentuk bagi mengumpul bukti sehinggalah siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh berdasarkan petunjuk dan bukti yang kita peroleh di lokasi kejadian dan bedah siasat.
“JSJ kemudian mengambil keputusan membuat tangkapan ke atas ibu dan bapa mangsa dan mendapat tahanan reman selama 13 hari untuk siasatan lanjut termasuk pengumpulan bukti dalam melengkapkan siasatan.
“Susulan itu, hasil perbincangan mendalam bersama pihak timbalan pendakwa raya (DPP), berdasarkan segala bukti dan keterangan yang ada, maka pihak pendakwaan memutuskan pada masa ini akta paling sesuai digunakan adalah di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara selama 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya bagaimanapun akan menjalankan siasatan dengan lebih lanjut sekiranya ada arahan terbaharu daripada pihak DPP.
Menurutnya, beliau sudah mengerahkan semua aset dan kekuatan sehinggalah ke proses pendakwaan dan segalanya selepas ini adalah terletak di bawah bidang kuasa pihak pendakwaan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan kononnya polis menyekat komunikasi antara kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu dengan peguam ketika direman, Mohd. Shuhaily memaklumkan pihaknya mempunyai hak dalam perkara itu.
“Pihak polis diberikan hak untuk menolak permohonan peguam untuk berjumpa pasangan berkenaan mengikut Seksyen 28A (8) Kanun Tatacara Jenayah.
“Bahagian 5 Kuasa Istimewa Penyiasat pada seksyen berkenaan memberikan kuasa kepada pihak polis untuk berbuat demikian semasa siasatan dijalankan,” jelasnya.
Dalam pada itu, jelasnya, pihak polis sama sekali tidak mempunyai sebarang niat tidak baik semasa menguatkuasakan peruntukan berkenaan.
“Fokus polis hanya untuk menjalankan siasatan sebaik mungkin dengan menggunakan semua peruntukan disediakan,” katanya. – UTUSAN





