PETALING JAYA: Peguam kepada ibu bapa Zayn Rayyan akan menghantar permohonan kali kedua kepada polis esok untuk bertemu dengan kedua-dua anak guamnya.
Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Fahmi Abd. Moin berkata, pihaknya berharap dapat bertemu suami isteri itu sebelum tempoh reman enam hari tamat, Rabu ini.
“Buat masa ini, kami masih tidak diberikan akses untuk bertemu anak guam malah kami tidak menerima apa-apa maklum balas daripada permohonan pertama.
“Justeru, kami akan menghantar permohonan kali kedua esok untuk bertemu suami isteri itu,” katanya ketika dihubungi Nexbyte di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, percanggahan keterangan daripada saksi dan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu antara punca polis melanjutkan siasatan ke atas suami isteri itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya sedang menjalankan pelbagai usaha untuk melengkapkan kertas siasatan.
Ada perkara yang perlu disemak semula kerana ada perkara yang tidak selari berbanding keterangan saksi ketika siasatan.
“Kita telah selesai soal siasat fasa pertama untuk reman tujuh hari. Ada perkara yang perlu kita semak semula. Ini kerana ada perkara yang masih tidak seiring dengan siasatan, jadi kita sambung reman enam hari untuk lengkapkan kertas siasatan,” lapor Hussein.
Setakat ini, polis juga telah memanggil bekas pengasuh Zayn Rayyan dan dua ahli keluarganya untuk dirakam keterangan dalam tempoh reman pertama.
Jumaat lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan sambung reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan sehingga Rabu ini (12 Jun) bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu. – UTUSAN






