PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam pendakwaan kes pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin sehingga perbicaraan selesai.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh menjelaskan, perintah itu berkuat kuasa hari ini dan hanya ditujukan secara spesifik kepada pihak-pihak dalam kes berkenaan, bukan kepada orang awam.
Pasukan pembelaan mengemukakan permohonan itu pada prosiding pendakwaan terhadap ibu bapa Zayn Rayyan atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang boleh menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Zaim Ikhwan Zahari (tertuduh pertama) dan Ismanira Abdul Manaf yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, peguam Fahmi Abd. Moin memohon semua pihak termasuk orang awam dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes berkenaan kerana ia boleh menimbulkan subjudis kepada perbicaraan kes kelak.
`”Kami percaya sebelum kedua-duanya dituduh pagi ini, banyak kenyataan panas dikeluarkan dalam media sosial dan memberi kesan kepada anak guam. Kami mohon perintah larangan bersuara dikenakan terhadap semua pihak,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron memohon agar tertuduh-tertuduh juga tidak mengeluarkan kenyataan atau membuat sebarang hantaran berkaitan kes berkenaan.
Beliau berkata, perintah yang dipohon terlalu umum dan hanya akan menyekat kebebasan bersuara masyarakat walhal larangan bersuara sepatutnya perlu disasarkan kepada kumpulan khusus. – UTUSAN






