GEORGE TOWN : Ahli-ahli UMNO perlu berani untuk menolak pemimpin parti yang ketandusan idea sekiranya mahu parti itu kembali mendapat kepercayaan rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, hal ini demikian kerana, masih ada pemimpin UMNO yang tidak berhenti bercakap soal politik sepanjang masa selain tidak menjadikan soal rakyat sebagai keutamaan mereka.
“Pemimpin kena bercakap untuk rakyat. Malangnya, masih ada yang bercakap soal agenda peribadi, mereka ‘tumbuk-menumbuk’ sesama sendiri tetapi bila soal rakyat, mereka tandus idea.
“Cukuplah sepanjang masa bercakap pasal politik. Perkara berkaitan kehidupan rakyat kita tak cakap pula.
“Jadi, ahli jangan takut. Kalau sudah berkali-kali kita ingatkan, namun, pemimpin masih sama, jangan takut untuk tolak pemimpin yang tandus idea,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tanjong di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir serta Ketua UMNO Bahagian Tanjong, Datuk Jeffri Salim.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, beliau yakin UMNO masih mempunyai ‘akar’ yang kuat dan ahli UMNO perlu membina kembali parti itu sehingga ia dapat meraih semula kepercayaan rakyat.

“UMNO ada akar yang masih kuat, tinggal kita bina kembali pucuknya sahaja.
“Jadi, jangan sedih, jangan kecewa. Jangan kita ingat UMNO tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja. Jika kita benar-benar berpegang pada akar UMNO yang kuat, UMNO akan kembali kuat untuk agama, bangsa dan negara,”katanya.
Tambah beliau, ahli-ahli parti juga perlu istiqamah dalam usaha untuk menguatkan UMNO.
“Mungkin hari ini, sinarnya (UMNO) tidak sekuat dahulu, namun bibit sinar menjadi obor itu sudah ada dan kita berada di landasan yang tepat.
“Tiba masa kita istiqamah, kuatkan UMNO dan akhirnya terpulang pada kita untuk kembalikan UMNO yang kuat seperti dahulu,” katanya.-UTUSAN






