BESUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengambil masa lebih empat jam untuk memindahkan seekor gajah liar yang ditangkap di Kampung Pak Sik, Hulu Besut di sini, hari ini.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, operasi memindahkan gajah jantan yang ditangkap Isnin lalu dilakukan 17 anggota dan pegawai Perhilitan Terengganu, Ibu Pejabat Perhilitan serta Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.
Menurutnya proses memindahkan gajah berusia sekitar 10 hingga 12 tahun itu bermula dari pukul 8 pagi dan telah berakhir pada pukul 11.30 pagi berjalan lancar.
Katanya, operasi ini turut dibantu dua ekor gajah denak iaitu Suria dan Kala yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu.
“Gajah seberat dua tan ini akan dipindahkan ke habitat semulajadi yang sesuai dan selamat untuk kemandiriannya dan mengelakkan berlakunya konflik dengan manusia,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Kean Seong berkata, gajah liar tersebut didapati mempunyai kesan luka lama di belakang gajah akibat tusukan gading dan gading kirinya telah patah dipercayai akibat pergaduhan dengan gajah lain.
“Hasil tangkapan dan pemindahan gajah tersebut dapat menjamin keselamatan penduduk daripada diserang gajah tersebut, selain mengelak kerugian lebih besar memandangkan mamalia tersebut bertindak merosakkam kelapa sawit dan pisang,” ujarnya. – UTUSAN






