PASIR MAS: Emosi tiga anak Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi, 33, dilihat masih belum stabil apabila sering termenung dan menangis kerana merindui ibunya.
Yusof Mokhtar, 35, berkata, anak kedua berusia empat tahun daripada tiga beradik itu dilihat paling terkesan dengan pemergian Istiqomah.
“Setiap pagi dia akan termenung dan menangis sambil mencari ibunya. Anak kedua saya memang rapat dengan arwah dan mereka selalu berpelukan.
“Alhamdulillah, emosi anak sulung dan bongsu agak stabil sikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas dikunjungi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Kampung Kubang Badak di sini, hari ini.
Istiqomah meninggalkan tiga orang anak, iaitu Naura Auni, 9, Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4.
Yusof memberitahu, dia akan membawa ketiga-tiga anaknya pulang ke Johor selepas semua urusan arwah isterinya selesai.
“Di sana nanti, kakak saya akan jaga dan apabila cuti sekolah pula pada September nanti, mentua saya ke Johor menjaga cucu-cucunya ini,” ujarnya.
Terdahulu, jenazah Istiqomah jenazah Istiqomah selamat dikebumikan pada pukul 11.50 malam di Tanah Perkuburan Islam Bandar Pasir Mas.
Sebelum ini media melaporkan, kehilangan seorang guru sejak Disember tahun lalu terjawab selepas mayat wanita yang dibunuh kejam dan disumbatkan ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang di kawasan Kampung Rimau, Pulau Sebang disahkan sebagai Istiqomah.
Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas ibu Istiqomah pada 2 Ogos lalu, mendapati ia sepadan dengan mangsa. – UTUSAN





