ALOR GAJAH: Suspek pembunuhan kejam Istiqomah Ahmad Rozi, 33, akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini, Isnin ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, arahan menuduh suspek lelaki berusia 37 tahun itu diperoleh daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Melaka.
Sebelum ini, Nexbyte melaporkan, mayat wanita yang ditemukan tanpa kepala di dalam tong sampah yang dibuang ke dalam longkang di kawasan Kampung Rimau, Pulau Sebang di sini, disahkan sebagai Istiqomah.
Susulan itu, sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun ditahan di Chemor, Perak minggu lalu bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, hanya suspek lelaki yang juga kenalan Istiqomah disambung reman sehingga 18 Ogos ini, manakala suspek wanita dibebaskan dengan jaminan polis. – UTUSAN





