KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dua lagi mangsa yang hilang dalam nahas bot karam yang memasuki hari ketiga, hari ini akan dibantu sembilan penyelam dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Muhamad Faisal Abdul Rahim berkata, penyelam yang dari Skuadron Selam, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia itu akan ke lokasi kejadian bagi mengesan kedudukan bot.
“Kita akan membuat selaman untuk mengesan kedudukan bot sama ada masih berada di lokasi kejadian atau telah dihanyutkan air.
“Bagaimanapun, kita akan turut melihat faktor ketinggian air laut dan cuaca sebelum melakukan selaman,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Muhamad Faisal berkata, keluasan kawasan pencarian hari ini turut diperluas sehingga 407.84 batu nautika persegi iaitu 116.24 nautika batu persegi di laut dan 291 batu nautika persegi di udara.
“Dua pesawat udara jenis Bombardier dari Maritim dan AW 139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga akan meneruskan pencarian di udara.
“Bagi aset laut, kita menggunakan tiga aset iaitu kapal milik Maritim Malaysia, Polis Marin dan Tentera Laut DiRaja Malaysia,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, bot dinaiki tujuh pemancing dan dua tekong karam selepas dipercayai dilanggar tongkang pada kedudukan tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman.
Tragedi itu, mengorbankan dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang berasal dari Selayang, Selangor dan tekong tempatan, Shahril Ismail, 50.
Setakat ini, dua lagi mangsa yang masih belum ditemui ialah Yusof Kassam,66, dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25.
Lima mangsa Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husaini,30, Haziyah Harun, 63, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50, terselamat. – UTUSAN






