KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dua lagi mangsa yang masih hilang dalam insiden bot karam dipercayai dilanggar tongkang semalam, masih belum menemui sebarang petunjuk pada hari kedua pencarian.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Leftenan Maritim Muhamad Faisal Abdul Rahim berkata, meskipun cuaca pada awal pagi baik, namun tidak menyebelahi pasukan penyelamat.
“Setelah kita melakukan pencarian dari pukul 7 pagi tadi hingga 7 petang ini, namun kita tidak menemui sebarang petunjuk sama ada terdapat objek menyerupai manusia atau bangkai bot melalui jalan laut dan udara.
“Lokasi bot juga kita tak dapat nak pastikan sama ada masih berada di situ atau dah hanyut ke tempat lain dan kita berusaha mencarinya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat di Zon Maritim Kemaman, di sini, petang ini.
Muhamad Faisal berkata, meskipun operasi pada hari ini pada petang ini berdepan sedikit kesukaran berikutan laut bergelora, namun operasi tetap diteruskan.
“Operasi pencarian hari ini meliputi keluasan 318 batu nautika persegi dari perairan Kemaman hingga ke Pulau Tenggol, Dungun untuk pencarian di udara dan laut.
“Insya-Allah, kita akan buat pencarian hingga ke perairan Kuala Terengganu, esok,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi semalam, bot dinaiki tujuh penumpang dan dua tekong karam selepas dipercayai dilanggar tongkang pada kedudukan tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman.
Setakat ini, dua lagi mangsa yang masih belum ditemui ialah Yusof Kassam,66, dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25.
Tragedi itu, mengorbankan dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang berasal dari Selayang, Selangor dan tekong tempatan, Shahril Ismail, 50.
Lima mangsa Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husaini, 30, Haziyah Harun, 63, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50, terselamat selepas bergantung pada tong ikan dan barang-barang yang terapung selama dua jam sebelum diselamatkan bot nelayan tempatan yang kebetulan melalui lokasi kejadian. – UTUSAN






